Friday, October 25, 2024
31.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menara Taming Sari tersangkut, 36 pengunjung cemas

    MELAKA, 2 JULAI – Sebanyak 36 pengunjung berdepan detik cemas apabila terperangkap selama sejam dalam pelantar berputar jenis gyro Menara Taming Sari di Bandar Hilir, di sini, tersangkut pada ketinggian 60 meter ketika ia sedang turun ke bawah, petang ini.

    Menara Taming Sari setinggi 110m dan dapat berputar 360 darjah untuk para pelawat melihat panorama Bandar Melaka. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hanif Mustafa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5:58 petang sebelum tiba di tempat kejadian tujuh minit kemudian.

    Katanya, kesemua pengunjung berjaya dikeluarkan ke tempat selamat tanpa sebarang kecederaan. Beliau berkata masalah mekanikal menyebabkan kejadian itu dan pihak penyelenggaraan Menara Taming Sari menggunakan motor sokongan untuk menurunkan pelantar terbabit.

    Seorang mangsa, Zuliani Zulkeple, 42, dari Bedong, Kedah, berkata beliau bersama 13 ahli keluarganya termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun empat bulan, menaiki menara berkenaan pada jam 5:30 petang.

    “Ketika berada di puncak, pelantar tersebut sempat berputar sebanyak dua kali sebelum tiba-tiba berhenti. Ketika itu saya ingatkan pelantar sengaja berhenti untuk memberi peluang kepada pelancong mengambil gambar.

    “Bagaimanapun, pelantar tersebut berhenti sangat lama. Ada yang mula mengalami sesak nafas kerana kekurangan oksigen berikutan pelantar berkenaan hanya mempunyai satu pintu servis dan tidak bertingkap,” katanya, ketika dihubungi Bernama.

    Zuliani, yang merupakan seorang jururawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani itu, berkata berikutan itu, ada pengunjung bertindak duduk berdekatan pintu servis bagi mendapatkan udara manakala yang semput dikipas oleh pengunjung lain. – Bernama

    Gambar Utusan Malaysia
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda