Sunday, February 2, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mendy kembali ke Liga Perancis

    RENNES, PERANCIS, 19 JULAI – Benjamin Mendy telah menandatangani kontrak bersama kelab Perancis, Lorient, hari ini selepas bekas pemain Manchester City dan bekas pemain pertahanan negara Perancis itu dibebaskan daripada tuduhan cubaan merogol di England minggu lalu.

    “Lorient hari ini dengan sukacita mengumumkan penandatanganan kontrak selama dua tahun dengan pertahanan kiri antarabangsa Perancis, Benjamin Mendy,” kata kelab Ligue 1 itu dalam satu kenyataan.

    Mendy, 29, telah dibebaskan daripada tuduhan cubaan merogol minggu lalu, menamatkan proses mahkamah selama tiga tahun.

    Pemain itu akan berdepan hukuman penjara yang lama jika didapati bersalah, namun dia telah dibebaskan daripada enam tuduhan rogol dan satu tuduhan serangan seksual
    pada bulan Januari selepas perbicaraan selama enam bulan.

    Namun, juri dalam perbicaraan itu tidak dapat mencapai keputusan atas dua tuduhan lain, menyebabkan perbicaraan semula yang berakhir minggu lalu.

    Benjamin Mendy meninggalkan Mahkamah Mahkota Chester di Chester, barat laut England, pada 14 Julai. – AFP

    Mendy, yang kontraknya bersama juara Liga Perdana England dan Eropah, Manchester City, tamat pada hujung Jun, menafikan semua tuduhan terhadapnya.

    Keputusan untuk berpindah dari Liga Perdana selepas perbicaraan adalah tidak dapat dielakkan, bahkan pasukan guamannya sendiri memberitahu juri bahawa ‘hidupnya sudah berakhir, dalam bidang bola sepak di United Kingdom.”

    Lorient, yang berada di tempat ke-10 di belakang juara Ligue 1 musim lepas, Paris Saint-Germain, berkata pemain baharu mereka akan memulakan latihan bermula hari ini setelah menjalani ujian kesihatan.

    “Benjamin Mendy, juara dunia 2018, pemenang quadruple bersama Manchester City, dan juara Perancis bersama Monaco, telah tiba untuk musim baharu,” umum kelab tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda