Wednesday, April 23, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengqadha sembahyang yang luput yang tidak dapat dipastikan jumlahnya

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Satu

    Sembahyang fardhu lima waktu diwajibkan ke atas setiap orang Islam, lelaki dan perempuan yang baligh, berakal, suci daripada haidh dan nifas. Sembahyang lima waktu tersebut wajib dikerjakan pada waktu-waktunya yang telah ditetapkan.

    Antara firman Allah dalam al-Qur‘an mengenai perintah pelaksanaan sembahyang ialah sepertimana berikut yang tafsirnya:

    “Dan dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat dan ruku‘lah kamu bersama orang-orang yang ruku‘.” (Surah al-Baqarah: 43)

    Dalam Surah an-Nisa’ firman Allah yang tafsirnya:

    “Sesungguhnya sembah-yang itu adalah satu kewajipan ke atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya.” (Surah an-Nisa: 103)

    Selain itu, dalam sebuah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a., Nabi bersabda kepada Mu‘az bin Jabal r.a. ketika beliau diutus oleh Baginda ke Negeri Yaman (kepada satu kaum atau golongan daripada penduduknya):

    Maksudnya: “…Khabarkan kepada mereka, sesungguhnya Allah telah memfardhukan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada tiap-tiap hari, siang dan malam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Melalai-lalaikan atau melewat-lewatkan sembahyang daripada waktunya seperti orang yang selalu sembahyang ketika waktu telah hampir habis antara maksud mencuaikan sembahyang. – Agensi

     

    Amaran kepada orang yang meninggalkan sembahyang

    Apabila seseorang Islam itu telah mencapai umur baligh, maka telah bermula kewajipan sembahyang baginya. Oleh itu, menjadi kewajipan seorang muslim untuk menjaga dan melaksanakan sembahyang fardhu serta mengerjakannya pada waktunya. Demikian juga, menjadi kewajipannya untuk tidak mencuaikan sembahyang, apalagi meninggalkannya dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran.

    Terdapat banyak ayat al-Qur‘an dan hadis Rasulullah yang menjelaskan akibat orang yang meninggalkan sembahyang, antaranya firman Allah yang tafsirnya:

    “Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddatstsir: 42-43)

    Dalam Surah Maryam ayat 59, Allah telah memberi amaran kepada mereka yang tidak mendirikan sembahyang dengan azab di akhirat sebagaimana yang tafsirnya:

    “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).” (Surah Maryam: 59)

    Menurut ulama tafsir, maksud mencuaikan sembahyang dalam ayat di atas antaranya ialah:

    1. Meninggalkan sembahyang dalam erti kata sebenar, iaitu tidak melaksanakan sembahyang.

    2. Mencuaikan sembahyang dari segi pelaksanaannya, iaitu sembahyang yang dilaksanakan tetapi tidak disempurnakan segala hak-haknya dan inilah pendapat yang shahih. Tidak menyempurnakan hak-hak sembahyang ialah seperti seorang yang sembahyang tanpa menghiraukan dan memenuhi rukun dan syaratnya, maka sembahyangnya yang sedemikian itu tidak memadai dan tidak sah.

    Kerana itu Rasulullah sampai bersabda kepada seorang yang mengerjakan sembahyang seumpama ini sebagaimana hadits yang maksudnya:

    “Kembali dan (ulang) sembahyang! Sesungguhnya tadi engkau belum sembahyang.” (Hadis riwayat Muslim)

    Rasulullah menegurnya sebanyak tiga kali dan pada setiap teguran itu juga dia diperintahkan untuk mengulang sembahyangnya sehinggalah mencapai tiga kali dia melakukan sembahyang tersebut.

    Dalam Tafsir al-Qurthubi, dinyatakan bahawa mencuaikan sembahyang dari segi pelaksanaannya, termasuklah sesiapa yang tidak memelihara kesempurnaan wudhu’ (sembahyang), ruku‘ dan sujud dalam sembahyang. Mereka yang tidak memelihara perkara-perkara ini bererti dia tidak memelihara sembahyang. Dan sesiapa yang tidak memelihara sembahyangnya, bererti dia telah menyia-yiakan sembahyang. Bukankah ini yang dinamakan mencuaikan sembahyang?!. Dan pastinya sesiapa yang memelihara sembahyangnya, maka Allah memelihara akan agamanya.

    3. Tidak melaksanakannya dalam waktunya yang telah ditetapkan, seperti sembahyang yang dilaksanakan di luar daripada waktunya.

    4. Melalai-lalaikan atau melewat-lewatkan sembahyang daripada waktunya seperti orang yang selalu sembahyang ketika waktu telah hampir habis. Ini kerana menurut pendapat ini, sekiranya dia meninggalkan sembahyang (tidak melaksanakannya), maka telah (menjadi) kufur.

    Manakala menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Buraidah r.a., sesetengah ulama berpendapat bahawa perbuatan meninggalkan sembahyang dengan sengaja boleh menjadikan seseorang itu dihukumkan kafir berdasarkan zahir sabda Rasulullah yang maksudnya:

    “Sesungguhnya perjanjian (aman) antara kami (orang Islam) dan mereka (orang kafir) adalah sembahyang. Siapa yang meninggalkan sembahyang, maka sesungguhnya dia telah menjadi kafir.” (Hadis riwayat an-Nasa’ie)

    Manakala dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru r.a., Rasulullah pada suatu hari telah menyebut tentang sembahyang.

    Maksudnya: “Sesiapa memeliharanya (sembahyang), maka adalah sembahyang itu menjadi nur kepadanya, dalil (dan hujjah) dan keselamatan baginya daripada api neraka pada Hari Qiamat. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya (sembahyang), maka tiadalah (sembahyang itu) menjadi nur, keselamatan dan hujjah baginya. Dan adalah dia pada Hari Qiamat bersama-sama Qarun, Fir‘aun, Haman (Menteri Fir‘aun) dan Ubai bin Khalaf.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda