Oleh Norizan Murshid
SEANDAINYA anda disahkan oleh doktor mengidap kanser tahap empat dan doktor berkata anda tidak ada harapan untuk hidup lama? Apakah anda akan berputus asa dan menghitung hari terakhir? Adakah anda akan berputus asa dan berserah pada nasib?
Namun bagi Awang Shaharuddin Abu Bakar yang mengidap kanser tahap empat beliau tidak berputus asa untuk terus mencari penawar sakit yang dialami dengan mengisi ruang masa yang terluang untuk terus menikmati kehidupan bersama isteri anak dan para cucunya.
Awang Shaharuddin yang mesra di panggil Shah merasa sangat bersyukur dan bertuah kerana isteri beliau, Dayang Nooraini Hassan setia di sisinya dalam keadaan genting seperti sekarang ini.
Katanya : “Allah SWT mentakdirkan saya mengidap kanser tetapi Allah SWT masih kasihkan saya kerana saya dianugerahkan seorang isteri yang setia di sisi di saat senang dan susah saya. Baru-baru ini kami berkesempatan menunaikan umrah di mana itulah kenangan indah kami dapat sujud di depan Kaabah dan saya memanjatkan doa agar Allah SWT memberikan kesembuhan penyakit yang saya alami kini’.
Ketentuan-Nya
Rezeki jodoh dan ajal itu adalah takdir dan ketentuan dari Yang Maha Berkuasa. Setiap penyakit yang Allah SWT turunkan ada penawarnya. Terserah kepada kita untuk terus tabah menghadapi ujian dan tidak berputus asa untuk mencari penawarnya.
Sungguhpun mengidap kanser, beliau tidak menunjukkan kesusahan dan kesakitan yang beliau hadapi. Malah Shah masih boleh bergurau ketawa dengan kawan-kawan lama beliau pada acara Malam Seribu Bintang Bekas-Bekas Pekerja Hotel Sheraton Utama Brunei di Bandar Seri Begawan baru-baru ini.
Pasangan suami isteri itu berpegang kepada prinsip, masa depan bukan bergantung kepada nasib, ia adalah pilihan kita sendiri. Mereka berdua bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat mengadakan satu Majlis Reunion bersama bekas pekerja Sheraton Utama yang tidak pernah bertemu setelah tiga dekad yang lalu.
Shah dan Nora menghitung hari? Bukan hari-hari menanti detik kematian tetapi menghitung hari melalui detik-detik manis bertemu sanak saudara dan para kawan lama di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.