Oleh Sim Y.H
TANGGAL 23 Februari 2017 merupakan hari yang penuh bermakna bagi segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kerana pada hari itu, Brunei sudah mencapai usia kemerdekaan selama 33 tahun dan dalam tempoh lebih tiga abad itu, Brunei bukan sahaja berkembang maju di dalam persada politik dan ekonomi serantau malahan turut menjadi sebuah negara yang terus membangun di pentas global.
Negara Brunei Darussalam sejak mencapai kemerdekaan pada 1984, terus mengecapi pembangunan yang pesat dan menikmati kemakmuran serta antara taraf kehidupan yang tertinggi di rantau Asia di mana kemakmuran itu adalah atas keprihatinan serta kebijaksanaan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang terus inginkan Brunei tidak hanya berpuas hati dengan pembangunan yang telah tercapai tetapi untuk terus berusaha supaya negara akan mampu bersaing dengan negara-negara membangun dan maju di dunia.
Kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat dan penduduk negara harus dipertahankan dan usaha harus digandakan supaya ekonomi negara yang kini masih lagi kuat bergantung pada industri minyak dan gas dapat di pelbagaikan. Usaha kepelbagaian ekonomi itu sedang giat diusahakan menerusi pelbagai inisiatif seperti industri Metanol, pelancaran jenama premium Brunei Halal, pembinaan kilang produk farmaseutikal halal pertama di Brunei, pusat latihan serbaguna, penjanaan iklim perniagaan yang lebih mesra kepada bukan sahaja usahawan tempatan tetapi juga pelabur-pelabur langsung asing serta paling ketara ialah usaha untuk memajukan Perusahaan Kecil dan Sederhana Negara terutama dalam menarik lebih banyak belia untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.
Memang sukar dinafikan bahawa hasrat untuk membakar semangat keusahawanan di kalangan penduduk dan rakyat negara khususnya mereka yang berkecimpung dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan bukannya satu perkara yang mudah, namun pihak kerajaan dan juga terdapat pihak swasta yang tidak takut untuk tampil ke hadapan bagi membantu golongan belia untuk menerokai bidang PKS atau keusahawanan.
Mengikut perangkaan kasar, tidak dapat dinafikan bahawa PKS merangkumi lebih dari 80 perusahaan atau perniagaan yang terdapat di Brunei dan bagi negara untuk mempunyai sebuah ekonomi yang dinamik memerlukan negara untuk mengambil peluang memperkasakan PKS tempatan supaya bukan sahaja mampu untuk bersaing di pasaran tetapi juga mampu untuk terus kekal termasuk penubuhan Darussalam Enterprise (DARE) pada Februari 2016.

Sejak penubuhan Darussalam Enterprise (DARE), ia terus berusaha untuk memainkan peranannya dalam membantu untuk menjana ekosistem perniagaan yang kondusif bagi membantu usahawan-usahawan tempatan menyelesaikan masalah yang dihadapi serta membantu perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk mencapai potensi masing-masing dalam menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.
Meneroka pasaran serantau dan antarabangsa
Sebagai sebuah badan berkanun yang dimandat untuk menyokong dan membimbing perusahaan tempatan untuk membangun bagi menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), DARE bukan sahaja berharap PKS tempatan akan berkembang di dalam negara sahaja tetapi juga menyokong usaha bagi mereka untuk mencapai matlamat utama untuk keluar menerokai pasaran serantau dan juga antarabangsa. Bagi mencapai matlamat itu, DARE terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam dan luar negara untuk menjana iklim perniagaan yang kondusif bagi perkembangan PKS dan usahawan tempatan.
Matlamat utama DARE adalah untuk membangunkan PKS negara yang bertaraf serantau di mana ia dapat menerokai pasaran di luar dari hanya pasaran tempatan di mana sering kali, rungutan yang diterima ialah pasaran tempatan merupakan pasaran kecil tetapi jika PKS kita berjaya meneroka pasaran luar seperti ASEAN, ia merupakan satu pasaran yang amat besar iaitu mempunyai kira-kira 600 juta orang pengguna.
DARE menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk mempromosikan pertumbuhan perusahaan Brunei di mana ia dilaksanakan dengan menyediakan suasana perniagaan yang dapat memupuk dan membangunkan perusahaan tempatan serta untuk menumpukan kepada perkembangan sektor-sektor khusus yang dikenal pasti sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi yang diselaraskan dengan Wawasan Brunei 2035. Selain daripada itu, DARE juga membantu perusahaan tempatan untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan di mana ia memudahkan cara bagi perusahaan tempatan mendapatkan bantuan serta akses pembiayaan dan pelaburan yang diperlukan oleh mereka untuk membangunkan lagi perusahaan masing-masing.
Di samping itu, ia juga dapat membantu dalam memudah cara akses pasaran bukan sahaja bagi pasaran serantau tetapi juga pasaran antarabangsa bagi PKS tempatan di mana kerjasama yang rapat dilaksanakan dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan. DARE juga menyediakan perkhidmatan pembangunan kapasiti untuk PKS tempatan dan perkhidmatan khidmat nasihat perniagaan serta menyediakan tapak dan kemudahan perindustrian yang berkualiti tinggi.
Pada masa yang sama, perusahaan-perusahaan juga digalakkan untuk bekerjasama dengan DARE dalam sesi-sesi berkenaan untuk menyelesaikan sebarang isu-isu relevan.
Selain daripada penubuhan badan berkanun, DARE untuk membantu perkembangan usahawan-usahawan di peringkat akar umbi, kerajaan terus melaksanakan pelbagai perubahan daripada segi dasar untuk memudahkan lagi, mengurangkan halangan serta menjana alam sekitar perniagaan yang lebih kondusif dan menarik bagi pelabur-pelabur asing.


Usaha kerajaan untuk memperbaiki persekitaran perniagaan di negara ini menerusi pendekatan seluruh kerajaan dapat disaksikan serta menampakkan hasil yang membanggakan apabila Negara Brunei Darussalam dalam laporan Doing Business 2017 Bank Dunia mencatatkan peningkatan signifikan pada ranking negara di mana memetik laporan yang memperhatikan Ease of Doing Business (EODB) di 190 buah negara itu, Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa sebanyak 137 ekonomi di seluruh dunia telah memperkenalkan beberapa pembaharuan penting yang memudahkannya memulakan dan menjalankan perniagaan bersaiz kecil dan sederhana, dengan 75 peratus keseluruhan pembaharuan dilaksanakan oleh negara-negara sedang membangun.
Usaha untuk memperbaiki peraturan perniagaan itu telah menyaksikan 10 ekonomi dicatatkan membuat peningkatan signifikan, dengan Brunei Darussalam dilaporkan mengungguli senarai berkenaan sebagai paling meningkat di dunia dari segi bagaimana mudahnya menjalankan perniagaan di dalam Negara, di hadapan Kazakhstan, Kenya, Belarus, Indonesia, Serbia, Georgia, Pakistan, Emeriah Arab Bersatu dan Bahrain.
Jabatan Tenaga dan Perindustrian dalam kenyataannya, menyatakan bahawa agenda pembaharuan perniagaan yang dipacu menerusi pendekatan seluruh kerajaan telah menyaksikan Brunei Darussalam meningkat dalam lapan daripada 10 petunjuk, mencatatkan peningkatan signifikan dalam lima petunjuk.
Peningkatan terbesar dicatatkan dalam ‘Getting Electricity’, yang melonjak 55 kedudukan kepada ke-21 di seluruh dunia, disebabkan atas usaha Jabatan Perkhidmatan Elektrik meningkatkan bekalan tenaga yang berdaya tahan menerusi pelaksanaan sistem pengurusan tenaga automatik bagi memantau penggunaan dan pemulihan perkhidmatan.
Manakala itu, penggubalan undang-undang baru yang diperkenalkan bagi memberikan lebih perlindungan kepada pemiutang dan penghutang, dan memudahkan menyelamatkan dan memulihkan syarikat bagi perniagaan yang bergelut, menyaksikan Brunei melonjak 40 anak tangga dalam ‘Resolving Insolvency’ kepada kedudukan ke-57 di dunia.
Menurut kenyataan itu, Perintah Ketidaksolvenan 2016 yang dipelopori oleh Bahagian Undang-Undang dan Kebajikan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Kewangan, menekankan kemandirian syarikat menerusi peruntukan semula sumber-sumber bagi syarikat tidak cekap dari segi ekonomi, memudahkan pemulihan operasi biasa yang berkesan kos dan cepat serta meningkatkan pulangan kepada pemiutang.
Langkah bersistematik
Langkah-langkah positif telah dilakukan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) untuk memperbaiki akses kepada kredit dengan pengagihan data pengguna daripada syarikat-syarikat utiliti memberikan ketelusan meningkat bagi institusi-institusi kewangan menaksir risiko dan nilai kredit pelanggan yang berpotensi.

Bermakna peruntukan-peruntukan dalam undang-undang ketidaksolvenan yang menawarkan perlindungan tambahan kepada pemiutang ketika pengekalan automatik dalam proses penyusunan semula, menyaksikan Brunei Darussalam melonjak kepada kedudukan 62 daripada 78 pada tahun lepas dari segi mendapatkan kredit.
Brunei juga membuat perkembangan signifikan dalam ‘Enforcing Contract’, melonjak 22 kedudukan ke ranking 93, menandakan ketelusan lebih meluas terhadap proses kehakiman di mahkamah dan peningkatan kecekapan pengurusan kes yang dimudahkan dengan pemfailan kes dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Kes Kehakiman (JCMS).
Di samping itu, menurut kenyataan itu lagi, laporan tersebut juga telah mengiktiraf perubahan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan yang menjadikannya lebih mudah untuk membuat dakwaan terhadap pengarah-pengarah dalam kes transaksi yang menjejaskan dan membenarkan pembatalan transaksi pihak berkaitan yang menjejaskan syarikat, meningkatkan kedudukan Brunei sebanyak 16 tangga kepada 102 dari segi Protecting Minority Investors.
Jabatan Tenaga dan Perindustrian berkata, ranking Doing Business Brunei Darussalam telah meningkat secara berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan dengan momentum agenda pembaharuannya yang komprehensif dan semakin meningkat setiap tahun.
Ini menunjukkan komitmen teguh dan kerjasama meningkat di antara agensi-agensi berkaitan untuk memacu perkembangan menerusi pendekatan seluruh kerajaan.
Dua daripada 10 ekonomi terbaik dunia adalah dari rantau Asia Timur (Singapura dan Hong Kong) di samping dua daripada peningkatan terbaik (Brunei dan Indonesia), begitu juga dengan beberapa ekonomi ASEAN yang membangun, menandakan persaingan yang meningkat dari segi peraturan perniagaan.
Menurut kenyataan itu, di sebalik perkembangan yang menggalakkan dan persembahan positif, Brunei masih ketinggalan dalam kebanyakan amalan-amalan terbaik antarabangsa dan perlu meningkatkan agenda reformasi untuk mencapai sasaran 20 terbaik di tengah-tengah persaingan meningkat di rantau ini. Reformasi-reformasi baru untuk mengurangkan masa, prosedur dan kos, sudah dikenal pasti, bagaimanapun, untuk bergerak ke peringkat seterusnya, fokus lebih besar sekarang diletakkan ke atas penglibatan komuniti perniagaan.
Pengiktirafan kerajaan ke atas kegentingan kerjasama sektor awam-swasta dalam pembangunan berdaya tahan kini akan menyaksikan maklum balas dan penyertaan daripada komuniti perniagaan yang memainkan peranan penting dalam membentuk dasar baru untuk mempromosi persekitaran yang pro perniagaan bagi Brunei Darussalam, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Bagi negara untuk mencapai Wawasan 2035 serta terus menikmati kemakmuran yang diperoleh selama 33 tahun kemerdekaan negara, pembangunan, kemajuan dan pengukuhan sektor PKS tempatan serta penjanaan ekosistem ekonomi yang kondusif kepada pelaburan dalam dan luar negara tidak harus diabaikan kerana peneraju ekonomi negara di masa akan datang tidak harus hanya tertumpu pada industri minyak dan gas semata-mata tetapi juga dalam ekonomi yang pelbagai, maju dan mapan.