Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Menteri luar China akan adakan lawatan rasmi ke Thailand

    BANGKOK, 25 JAN – Menteri Luar China, Wang Yi akan mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Thailand mulai esok hingga 29 Januari, bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan menandatangani perjanjian pengecualian visa.

    Wang turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin di Rumah Kerajaan.

    Selain itu, Wang dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Dr Parnpree Bahiddha-nukara akan bersama-sama mempengerusikan mesyuarat Mekanisme Perundingan China-Thailand yang julung kali diadakan.

    Wang dan Parnpree akan menandatangani Perjanjian Pengecualian Visa Bersama untuk pasport biasa dan hal ehwal awam yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac.

    Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa lawatan itu bakal meningkatkan kerjasama antara Thailand dan China, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan, keselamatan, budaya, pelancongan dan bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa.

    “Pihak Thailand akan mengambil peluang itu untuk mengulangi visinya mengenai hubungan Thailand-China berdasarkan dasar Satu China Thailand serta kepentingan bersama dan prinsip antarabangsa yang menjadi pegangan oleh kedua-dua negara, menuju kepada pembinaan Komuniti Berkongsi Masa Depan Bersama Thailand-China untuk kekuatan, kemakmuran dan kemampanan,” menurut kenyataan itu.

    Thailand dan China akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 2025.

    Kali terakhir Wang melawat Thailand pada Julai 2022. – Bernama

    Wang Yi (gambar) akan mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Thailand mulai esok hingga 29 Januari, bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan menandatangani perjanjian pengecualian visa. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...