Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Menteri Pendidikan tinjau tiga buah sekolah di Tutong

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Sempena permulaan sesi persekolahan bagi tahun akademik 2023, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa sekolah di Daerah Tutong.

    Sekolah-sekolah yang dilawati adalah Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya, Sengkarai, Sekolah Rendah Muda Hashim dan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah.

    Antara tujuan lawatan adalah untuk meninjau dan menyaksikan secara lebih dekat pelaksanaan aktiviti-aktiviti kembali ke sekolah, meninjau prasarana dan kemudahan sekolah seperti bilik-bilik guru, dewan sekolah dan perpustakaan serta pelaksanaan Program Pemulihan Pembelajaran bagi mengatasi Learning Loss dan Learning Gaps (Jurang Pembelajaran) disebabkan penutupan sekolah akibat penularan COVID.

    Turut menyertai rombongan itu ialah ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan memulakan lawatan ke Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya di mana ketibaan mereka dialu-alukan oleh Guru Besar, Dayang Nurkara’en binti Haji Tuneh.

    Semasa lawatan, Yang Berhormat Datin berpeluang menyaksikan aktiviti-aktiviti kembali ke sekolah yang diadakan secara berkumpulan di empat lokasi iaitu dewan sekolah, perpustakaan, bilik persidangan dan taman permainan.

    Beliau juga berkesempatan berinteraksi dengan para guru dan pelajar semasa lawatan tersebut.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan rombongan seterusnya meneruskan lawatan kerja ke Sekolah Rendah Muda Hashim dengan dialu-alukan oleh Guru Besar, Dayang Sanah @ Bazlaa’ Hasanah binti Haji Daud.

    Semasa lawatan, Yang Berhormat Datin berkesempatan meninjau aktiviti-aktiviti kembali ke sekolah serta melawat bilik-bilik darjah di mana Yang Berhormat Datin berpeluang untuk berinteraksi dan menyampaikan kata-kata motivasi kepada para pelajar.

    Yang Berhormat Datin dan rombongan seterusnya meneruskan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Sufri Bolkiah dengan dialu-alukan oleh Pengetua, Awang Eddy Nazrin bin Haji Seruji. Semasa lawatan, Yang Berhormat Datin meninjau pra-sarana sekolah bagi memastikan prasarana yang sedia ada adalah kondusif untuk mendukung sesi pengajaran dan pembelajaran.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa berinteraksi dengan pelajar salah sebuah sekolah yang dilawati.
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan mengambil bahagian dalam aktiviti yang diadakan di salah sebuah sekolah yang ditinjau kelmarin.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...