Saturday, November 2, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mentua cerewet, rumah tangga goyah

    Saya tidak pernah sangka bahawa perkahwinan bukan sahaja tentang kisah pasangan berdua, tapi turut melibatkan keluarga kedua-dua pihak ke dalam kehidupan kami.

    Saya bersyukur dikurniakan mentua yang penyayang, tapi sejak kebelakangan ini, saya rasa serba salah dengan campur tangan mereka dalam hal rumah tangga kami.

    Mana tidaknya, segala keputusan waima tah ia hal besar atau kecil seakan-akan perlu melalui mereka dulu.

    Dari segi cara kami menguruskan rumah, apa yang patut dimasak, sampailah ke tahap cara kami mendidik anak-anak, semuanya ada ‘panduan’ dan komen daripada mentua saya.

    Bila saya cuba berbincang dengan suami, dia cuma kata, “Sabar saja…mentua memang macam tu, ada lah hikmahnya tu.”

    Foto Canva

    Saya cuba terima, tapi makin lama, saya rasa makin tertekan, seolah-olah semua yang saya buat tidak pernah cukup baik di mata mereka.

    Saya sayangkan keluarga, tapi saya juga mahu ruang untuk membina kehidupan kami mengikut cara sendiri.

    Bagaimanapun, apabila terlalu banyak campur tangan, saya rasa seperti kehilangan kebebasan dalam membuat keputusan.

    Rasa letih untuk jelaskan kenapa saya memilih untuk buat sesuatu dengan cara saya sendiri. Setiap hari, saya tertanya-tanya jika saya patut terus bersabar atau sudah tiba masanya untuk berbincang tentang menetapkan sempadan.

    Jadi, perkongsian saya ini ibarat suara hati yang meminta nasihat dan pendapat awda yang pernah berada dalam situasi serupa.

    Bagaimanakah cara terbaik untuk menghadapi situasi ini tanpa menyinggung perasaan sesiapa? Perlukah saya meneruskan kesabaran ini, atau adakah tiba masanya untuk mempertahankan hak saya dalam rumah tangga ini tanpa menjejaskan hubungan kekeluargaan?

    Zirah

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih Zirah kerana berkongsi situasi yang memang menguji kesabaran seperti ini.

    Perkahwinan memang melibatkan bukan hanya pasangan tetapi juga keluarga, yang kadang-kadang boleh menyebabkan konflik. Sikap mertua yang campur tangan melebih-lebih seperti ini sememangnya boleh mengganggu ketenteraman hidup.

    Dang MP ingin mengingatkan bahawa adalah penting untuk Zirah berbincang secara terbuka dengan suami tentang perasaan awda. Nyatakan bahawa awda merasa tertekan dengan campur tangan mertua dan perlukan sokongan daripadanya. Zirah sudah tidak mampu bersabar sahaja kerana merasa tertekan.

    Jika perlu, awda boleh berbincang dengan mertua secara lembut, menerangkan bahawa awda menghargai nasihat mereka tetapi ingin mencari cara yang sesuai untuk keluarga awda sendiri. Mungkin awda boleh mencadangkan untuk melibatkan mereka dalam perbincangan, tetapi tekankan bahawa awda juga ingin mencuba pendekatan sendiri.

    Dalam situasi yang penuh tekanan ini, penting juga untuk menjaga kesejahteraan diri.

    Luangkan masa untuk aktiviti yang awda nikmati agar dapat berfikir dengan lebih tenang.

    Sementara itu, cuba untuk bersabar dan berempati, kerana mertua mungkin bertindak demikian kerana sayang dan ingin membantu. Dengan komunikasi yang baik dan pendekatan yang berhemah, awda boleh mencari keseimbangan yang lebih baik dalam hubungan ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda