AKIBAT dorongan kemajuan teknologi dan permintaan untuk alternatif pengangkutan di bandar-bandar yang semakin sesak, usahawan di seluruh dunia sedang berusaha membangunkan ‘kereta terbang’ komersial yang berdaya maju. Kebanyakan kereta terbang dibuat dengan reka bentuk berbeza dan sebenarnya tidak dapat dipandu di atas jalan raya.
Pelbagai cabaran harus diharungi demi merealisasikan impian tersebut antaranya memastikan sistem kawal selia kenderaan berfungsi dengan baik sekali gus mampu menjamin keselamatan pemandu dan penumpang, mengelakkan daripada sebarang kemalangan serta mencipta bateri yang mempunyai kuasa tinggi sehinga mampu bertahan lama. Berikut adalah beberapa contoh-contoh ‘kereta terbang’ yang sedang dibangunkan oleh beberapa syarikat.
VAHANA
Syarikat pengeluar pesawat Airbus Eropah sedang membangunkan sebuah teksi terbang yang akan dipandu oleh seorang juruterbang tetapi kemudian menjadi autonomi di pusat penyelidikan Silicon Valley. Pesawat semua elektrik yang berlepas dan mendarat secara menegak itu adalah kokpit yang dipasang pada sebuah kereta luncur dengan kipas di hadapan dan belakang. Airbus merancang untuk menguji prototaip ini sebelum akhir 2017 dan Vahana yang pertama bersedia memasuki pengeluaran pada 2020.
CORMORANT
Firma teknologi Israel Urban Aeronautics pada mula hanya membuat dron pembawa manusia untuk kegunaan ketenteraan. ‘Kereta terbang’ ini juga berlepas dan mendarat secara menegak dan dilengkapi enjin standard helikopter tetapi tiada bilah kipas utama. Ia digerakkan oleh dua kipas yang tersembunyi di dalam fiuslaj pesawat. Dua kipas sesalur kecil pada bahagian belakang membolehkannya bergerak ke hadapan. Kereta ini boleh terbang melalui celah-celah bangunan dan di bawah talian elektrik, mencapai kelajuan sehingga 115 batu sejam, boleh bertahan di udara selama sejam dan boleh membawa muatan sehingga 1,100 pound.


LILIUM JET
Syarikat teknologi Jerman Lilium Aviation pula membangunkan pesawat dua tempat duduk yang akan berlepas secara menegak menggunakan 36 enjin kipas elektrik pada sayapnya. Pesawat itu boleh berlegar dan mendaki sehingga kipasnya dipusingkan kembali ke belakang perlahan-lahan untuk terbang ke hadapan seperti kapal terbang dengan enjin jet elektrik. Syarikat itu telah menguji penerbangan dengan model pesawat skala kecil. Kereta terbang itu bergerak dengan kelajuan sehingga 190 batu sejam dengan jarak penerbangan sejauh190 batu.
AEROMOBIL 3.0
Syarikat Aeromobil Slovakia telah membangunkan sebuah kereta dengan sayap boleh lipat menggunakan petrol biasa dan sesuai dengan tempat letak kereta standard. Ia juga boleh berlepas dari lapangan terbang atau mana-mana landasan rumput atau permukaan berturap beberapa ratus meter panjang, menurut laman web syarikat. Kereta terbang ini juga memerlukan pemandu dan lesen.
EHANG 184
Pembuat dron dari Cina, EHang telah membuat ujian penerbangan untuk dron yang membawa manusia di Nevada. Kenderaan itu adalah kokpit dengan empat lengan dilengkapi lapan bilah kipas. Sasaran berlepas dan mendarat adalah pra-program. Sebuah stesen arahan di China akan dapat memantau dan mengawal pesawat itu dari mana-mana kawasan di dunia, para pegawai syarikat berkata.


S2
Joby Aviation dari Santa Cruz, California pula sedang membangunkan sebuah pesawat elektrik dua tempat duduk dengan 12 bilah kipas yang dipasang pada sayap dan ekornya. Pesawat ini boleh berlepas dan mendarat secara menegak dengan kelajuan boleh mencecah sehingga 200 batu sejam, menurut laman sesawang syarikat.
TRANSITION/TF-X
Terrafugia yang berpangkalan di Woburn, Massachusetts mula membangunkan kereta lipat sayap boleh terbang atau dipandu di jalan raya yang dinamakan Transition. Syarikat itu merancang untuk memulakan pengeluaran Transition pada 2019. Terrafugia juga mengusahakan kereta terbang TF-X dengan lengan boleh lipat dan kipas untuk berlepas dan mendarat secara menegak.
VOLOCOPTER
Multikopter elektrik dua tempat duduk dari syarikat Jerman e-volo ini mempunyai 18 bilah kipas dan kelihatan seperti ‘crossover’ antara helikopter dan dron. Ia digerakkan dengan kawalan dan tidak memerlukan juruterbang dan lesen.
ZEE
Pemaju Mountain View dari California yang dibiayai oleh pengasas bersama Google Larry Page berkata di laman sesawang bahawa mereka mengusahakan ‘bentuk baru revolusioner pengangkutan’ pada persimpangan aerodinamik dan pembuatan termaju dengan kuasa elektrik’. Bagaimanapun, para pegawai syarikat enggan memberikan butiran lanjut mengenai projek Zee. – AP