Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 20 DIS – Bagi mewujudkan impak positif ke arah peningkatan keramaian pengunjung ke Pekan Tutong dan mengisi aktiviti pada musim cuti persekolahan ini, perlumbaan go-kart (Tutong Street Race) akan diadakan pada 25 Disember ini.
Perlumbaan yang akan menjadikan Jalan Enchi Awang dan beberapa jalan di sekitar Pekan Tutong sebagai litar lumba itu bertepatan dengan konsep acara untuk membangkitkan suasana ceria di sekitar pekan tersebut.
Perkara berkenaan telah dikongsikan semasa sidang media yang berlangsung di Bangunan Jabatan-jabatan Kerajaan Lama (Bangunan Mahkamah Lama), Jalan Enchi Awang, pagi tadi.
Hadir pada acara sidang media itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali, selaku Pengerusi Bersama Tutong Buzz; Setiausaha Lembaga Bandaran Tutong, Jabatan Bandaran Tutong, Pengiran Mahdini bin Pengiran Haji Ali; Setiausaha Persatuan Go-Kart Brunei Darussalam, Haji Awang Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar; dan Pengurus AIZ Event Management, Pengiran Norul Isharizza binti Pengiran Hashim.
Perlumbaan itu dikendalikan oleh Persatuan Go-Kart Brunei Darussalam dengan kerjasama AIZ Event Management di bawah Program Tutong Buzz 2022, dengan anjuran bersama Jabatan Bandaran Tutong, Jabatan Daerah Tutong dan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong.
Haji Awang Mohd Yusri semasa sidang media itu menjelaskan, acara akan bermula dari 6 pagi hingga 3 petang di mana perlumbaan akan dilakukan tiga saringan dengan jumlah pusingan tertentu.
Menurut beliau, kira-kira 15 peserta telah berdaftar bukan hanya daripada penduduk setempat bahkan penggemar dari luar negara.
“Namun kami masih mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk menyertai acara ini bagi memeriahkan lagi perlumbaan yang begitu dinanti-nantikan ini,” kongsinya.
Menyentuh aspek keselamatan, beliau turut menyatakan para peserta dan ahli jawatankuasa yang terlibat dikehendaki untuk mengikuti sesi taklimat merangkumi peraturan dan keselamatan terlebih dahulu sebelum acara berlangsung.
“Kini, sebagai salah satu persiapan untuk keselamatan peserta perlumbaan dan juga orang ramai, kami giat memperbaiki kerosakan yang ada pada jalan-jalan yang berkaitan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya,” ujarnya lanjut.
Di samping itu, beliau turut menjelaskan jika keadaan cuaca tidak mengizinkan semasa berlangsungnya perlumbaan berkenaan seperti hujan lebat yang berterusan maka acara tersebut akan ditunda dengan serta-merta demi keselamatan bersama.
“Bagi orang ramai yang menyaksikan perlumbaan itu disarankan untuk berada di kawasan antara hadapan Jeti Sungai Tutong sehingga tantangan Sungai Tutong. Hal ini perlu diambil perhatian demi menjaga keselamatan bersama sambil memberi sokongan padu kepada para pelumba,” tambahnya.
Sementara itu, Awang Muham-mad Amir menyarankan orang ramai yang berhasrat untuk datang ke acara itu terutamanya semasa berlangsungnya perlumbaan hendaklah merancang perjalanan mereka dengan sebaik mungkin
dengan sentiasa mematuhi segala arahan daripada pihak-pihak berkuasa terutamanya Pasukan Polis Diraja Brunei dan jawatankuasa-jawatankuasa kerja yang bertugas bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan diri dan insan-insan di sekeliling dari semasa ke semasa.
Pengungkayahan Tutong Buzz adalah bersempena Festival Disember Brunei (BDF) bagi memeriahkan musim cuti penggal persekolahan dalam negara yang dengan slogan ‘Keceriaan Bermula di Sini’.
Tutong Buzz bermula sekitar awal Disember lalu dan ia merupakan bazar hujung minggu yang turut diisikan dengan pelbagai acara dan aktiviti sampingan berkonsepkan riadah, sukan dan pelancongan.
Selain itu, para pengunjung juga berpeluang menyaksikan pertunjukan bot laju yang akan berlangsung di Sungai Tutong dan beberapa acara sampingan yang akan me-ngambil tempat pada hari tersebut.
Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai acara berkenaan, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang www.tutong.click dan laman sosial Facebook, Tutong Destination.