Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meski ragamu tiada, jiwamu selalu bersama – BCL

    Penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) berkongsi pengalaman meraikan Aidilfitri tanpa suami tersayang, Allahyarham Ashraf Sinclair menerusi video BCL – Dear Love dalam laman YouTube.

    Menerusi video itu, penyanyi Cinta Sejati ini bukan sahaja memaparkan Sambutan Lebaran yang disifatkan sebagai normal baharu buatnya dan anak tunggal, Noah Aidan Sinclair, tetapi mengimbau momen manis pernah dilalui bersama arwah suami pada Aidilfitri, tahun lalu.

    “Dear love, tidak terasa waktu berjalan begitu cepat kerana terasa baru semalam kita meraikan Aidilfitri bersama. Menjalinkan ikatan silaturahim bersama keluarga dan sahabat. Siapa sangka, ia adalah Aidilfitri terakhir untuk kita berdua,” luah Bunga sebagai mukadimah untuk video durasi 11.29 saat itu.

    Biarpun Ashraf sudah tiada, kata Bunga, rutin tahunan pada malam raya seperti sesi bertakbir tetap diteruskan seperti biasa. Cuma bezanya, kali ini mereka mengadakan majlis bacaan Surah Yasin untuk disedekahkan kepada arwah.

    “Pada malam raya lalu, kita sekeluarga membacakan Yasin untuk kamu, sama seperti yang dilakukan untukmu saban malam. Noah dan Opah bertakbir se-perti yang kamu lakukan bersama Noah pada malam raya, tahun lalu.

    “Cuma bezanya kali ini, mereka bertakbir di rumah sahaja dan kamu tiada di sisi,” ungkapnya dalam nada sebak.

    Meskipun kemeriahan Hari Raya sedikit suram berikutan pemergian arwah Ashraf, ditambah pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini, namun Bunga dan keluarga berusaha mengekalkan tradisi seperti arwah masih ada.

    “Kita mengerjakan solat Aidilfitri di rumah dengan Opah sebagai imam. Pengalaman baharu ini sangat indah. Aidilfitri kali ini sangat berbeza. Itu juga kerana keadaan COVID-19 yang membuatkan kita tak boleh keluar rumah untuk solat Aidilfitri ataupun menjalin silaturahim bersama keluarga besar dan sahabat.

    “Lebaran kali ini, aku masih lagi menyediakan masakan sama seperti kamu masih ada. Aku kekalkan tradisi ini untuk memudahkan anak kita menyesuaikan diri dengan normal baharu. Meski ragamu tiada, jiwamu selalu bersama,” luah Bunga menerusi video berkenaan. – Agensi

    BCL bukan sahaja memaparkan Sambutan Lebaran yang disifatkan sebagai normal baharu, malah mengimbau momen manis pernah dilalui bersama arwah suami pada Aidilfitri, tahun lalu. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda