Friday, October 18, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesra, jujur tonggak kejayaan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Penyedia perkhidmatan pos perlu menyesuaikan diri dan berinovasi mengikut peredaran masa supaya mereka kekal relevan dan berkemampuan untuk menyokong perkhidmatan e-dagang, e-kerajaan dan e-kewangan yang semakin berkembang.

    Perkembangan-perkembangan itu juga selari dengan Peta Jalan Digital Ekonomi Negara Brunei Darussalam.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam perutusannya sempena Hari Pos Sedunia 2023.

    Dalam perutusan itu, Yang Berhormat Pengiran Dato menyedari akan hakikat bahawa model operasi perkhidmatan pos di negara ini perlu melalui perubahan, penggubalan perintah Postal Services Order 2023 akan membolehkan perkhidmatan pos dikorporatkan nanti.

    “Ini juga boleh menjadi pemangkin ke arah mempromosikan industri pos yang efisien dan berdaya saing serta membolehkan pelaburan lebih tinggi di dalam teknologi seperti automasi dan pendigitalan.”

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menekankan kepentingan kemesraan dan kejujuran dalam menyampaikan tugas dan amanah kepada pelanggan. – Gambar serahan MTIC

    Usaha-usaha itu, tambahnya, juga bertepatan dengan Pelan Strategik Kesatuan Pos Sedunia (Abidjan Postal Strategy 2021-2025), yang antara lainnya menyeru pihak-pihak pengawal selia untuk berusaha dalam menyelaraskan dan meningkatkan keharmonian sektor pos ke arah usaha pembangunan sosioekonomi negara.

    Terdahulu dalam perutusan itu, Yang Berhormat Pengiran Dato berkata Hari Pos Sedunia diraikan pada setiap 9 Oktober oleh negara-negara ahli Kesatuan Pos Sedunia (UPU) bagi mengiktiraf peranan pos dalam kehidupan seharian orang ramai dan perniagaan, serta sumbangannya kepada pembangunan sosial dan ekonomi global.

    Selain itu, pejabat pos juga berfungsi sebagai satu wadah komunikasi yang padu, inklusif dan menghubungkan masyarakat.

    Pada 2023, UPU telah memilih tema Together for trust: Collaborating for a safe and connnected future bagi menghargai kepercayaan yang telah dibina sejak sekian lama melalui komitmen dan kegigihan yang ditunjukkan oleh penyedia perkhidmatan pos dalam menyempurnakan amanah yang diberikan dengan jujur dan selamat.

    “Ini selaras dengan sahutan perkhidmatan sejagat di bawah Universal Services Obligations (USO) kepada orang ramai.”

    Dalam perutusan itu lagi, beliau turut menekankan bahawa kemesraan dan kejujuran warga pos dalam menyampaikan tugas dan amanah kepada para pelanggan adalah salah satu tonggak kejayaan bagi perkhidmatan pos.

    “Dari kemesraan dan kejujuran tersebut akan terbinanya jambatan kepercayaan yang kuat di antara penyedia perkhidmatan dan pelanggan.Kepercayaan merupakan nilai teras yang perlu dipertahankan,” tegasnya.

    Anugerah yang diterima oleh Jabatan Perkhidmatan Pos, Negara Brunei Darussalam pada 2023, bagi kualiti perkhidmatan pelanggan Express Mail Services (EMS) menunjukkan bahawa kita mampu menyediakan perkhidmatan cemerlang.

    Untuk terus cemerlang, ia memerlukan pendekatan yang berpusatkan pelanggan, komitmen dan usaha tinggi oleh semua yang terlibat, ujar beliau lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda