Tuesday, March 18, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi direhatkan akibat cedera, Argentina buru tempat ke Piala Dunia

    MONTEVIDEO, 18 MAC – Lionel Messi tidak akan menyertai skuad Argentina bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay dan Brazil selepas dilaporkan mengalami kecederaan ketika perlawanan kelabnya sehari sebelumnya.

    Sesudah terlepas tiga aksi buat kelabnya, Inter Miami, pada permulaan bulan ini dengan kecederaan otot, pemain berusia 37 tahun itu kembali dengan gol dari bangku simpanan ketika menang aksi Piala Juara-Juara CONCACAF.

    Dia bermain 90 minit dan menjaringkan gol sekali lagi pada aksi kemenangan MLS di Atlanta semalam tetapi media Argentina melaporkan dia kemudiannya mengalami ketegangan otot.

    Aksi Lionel Messi semasa perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 Amerika Selatan antara Argentina dan Peru di stadium La Bombonera di Buenos Aires pada 19 November 2024. – AFP

    Argentina, juara bertahan Piala Dunia, boleh memastikan tempat ke kejohanan tahun depan menerusi dua aksi bulan ini.

    Mereka mendahului zon Amerika Selatan yang mempunyai 10 negara dengan lima mata di depan Uruguay dan berkunjung ke Montevideo sebelum melayan Brazil di Buenos Aires pada 25 Mac.

    Enam pasukan teratas layak secara automatik ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada. Pasukan tangga ketujuh ketika ini Bolivia dengan 13 mata.

    Selepas 12 pusingan, Messi adalah penjaring gol terbanyak pada pusingan kelayakan dengan enam gol.

    Argentina turut tanpa penyerang Roma yang cedera Paulo Dybala dan pertahanan River Plate, Paulo Montiel.

    Brazil tampil tanpa Neymar, 33, yang mengalami kecederaan paha dan terpaksa menangguhkan kepulangannya ke pasukan kebangsaan, yang berada di tangga kelima, tujuh mata di belakang Argentina. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda