MADRID, 23 OGOS – Lionel Messi mungkin diturunkan menentang Real Betis Ahad ini dan ia adalah kepulangan yang ditunggu-tunggu Barcelona.
Messi direhatkan sepanjang sesi pra-musim akibat kecederaan betis dan hanya kembali berlatih bersama pasukan pada Rabu lalu.
Barcelona perlu bangkit daripada kekalahan di tangan Athletic Bilbao pada perlawanan pembukaan La Liga di San Mames minggu lalu.
“San Mames adalah tempat yang sukar untuk beraksi,” kata Gerard Pique. “Apabila anda tidak beraksi pada tahap terbaik, mereka akan membuatkan anda kelihatan dungu.”
Barcelona memulakan musim dengan memori pahit kekalahan Liga Juara-Juara dan final Piala Raja Sepanyol pada Mei.
Gaya permainan diterapkan pengendalinya, Ernesto Valverde mendapat kritikan tetapi pada masa sama Barca di bawah bimbingannya berada di landasan terbaik untuk meraih gelaran La Liga ketiga berturut-turut dan Valverde bakal mengulangi pencapaian Pep Guardiola bersama gergasi Sepanyol itu.
Apabila Messi cedera, peranan jentera serangan dipikul Luis Suarez, Antoine Griezmann dan Osmane Dembele.
Malangnya Suarez dan Dembele turut cedera ketika menentang Bilbao manakala Griezmann pula masih belum menyesuaikan diri dengan corak permainan di Barca.
“Liga ini sukar,” kata Griezmann. “Kami perlu bangkit.” – AFP