Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat ASOD bincang isu dadah

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – ASEAN terus komited menyokong dasar toleransi sifar terhadap isu dadah di rantau berkenaan bagi merealisasikan aspirasi ASEAN Bebas Dadah.

    Komitmen tegas itu disuarakan semasa Mesyuarat ASEAN Senior Officials on Drug Matters (ASOD) kali ke–44 telah diadakan secara maya dari Nay Pyi Taw, Republik Kesatuan Myanmar pad 5 hingga 7 Julai lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Kawalan Narkotik, di sini, mesyuarat itu dihadiri oleh Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Dato Paduka Mohammad Zalani bin Haji Ismail serta beberapa orang pegawai kanan Biro Kawalan Narkotik.

    Mesyuarat ASOD ke–44 tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan dan Setiausaha Central Committee for Drug Abuse Control (CCDAC), Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral Zin Min Htet.

    Mesyuarat ASOD merupakan satu wadah bagi membincangkan dan mengongsi maklumat mengenai situasi dan trend dadah terkini serta usaha dan langkah yang dilaksanakan dalam menangani isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

    Mesyuarat ASOD juga membincangkan mengenai pembangunan kapasiti negara-negara ahli bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran agensi-agensi penguatkuasaan dadah di rantau ini yang berhadapan dengan aktiviti jenayah pengedaran dadah yang sentiasa berkembang dan berubah-ubah.

    Mesyuarat ASOD ke–44 juga mengadakan sesi konsultasi bersama rakan-rakan dialog melalui 8th ASOD + China Consultation, 9th ASOD + Republic of Korea Consultation, 16th ASOD + 3 Consultation, 5th ASOD + Russia Consultation dan 6th ASOD + India Consultation dalam usaha meningkatkan kerjasama rantau ASEAN dengan rakan-rakan dialog.

    Melalui usaha kolaboratif antara negara ASEAN dan rakan dialog diharapkan supaya dapat meningkatkan lagi kemahiran dan kepakaran negara-negara ahli dalam menangani jenayah dadah.

    Dato Paduka Mohammad Zalani semasa menghadiri mesyuarat berkenaan secara maya. – Gambar serahan BKN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda