Tuesday, April 22, 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat bincang kepentingan IPEF

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Rangka Kerja Ekonomi bagi Kemakmuran Indo Pasifik (IPEF) Peringkat Menteri secara maya pada 30 Jun lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, menteri-menteri IPEF telah meneruskan perbincangan mengenai perkembangan rundingan, dengan tujuan untuk mengakhiri dialog khusus berkaitan Tonggak III: Ekonomi Bersih dan Tonggak IV: Ekonomi Adil.

    Selain itu, mesyuarat juga membincangkan kepentingan IPEF dan faedah konkrit yang akan diberikannya, seperti bantuan teknikal dan pembangunan kapasiti, yang kesemuanya akan menyokong rakan-rakan kongsi IPEF dalam melaksanakan komitmen di bawah tonggak-tonggak tersebut.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut berkongsi bahawa Negara Brunei Darussalam, seperti kebanyakan ekonomi-ekonomi lain, sedang beralih kepada ekonomi karbon yang lebih rendah atau lebih bersih.

    Oleh itu, Negara Brunei Darussalam menghargai bahawa Tonggak III: Ekonomi Bersih boleh memberikan peluang yang sangat baik untuk meningkatkan kerjasama dan perkongsian dalam kalangan rakan-rakan kongsi IPEF. Beliau juga mengalu-alukan program pembinaan kapasiti di bawah Tonggak IV: Ekonomi Adil.

    Semasa mesyuarat berkenaan, Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) telah mengumumkan bahawa Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa AS telah meluluskan pembiayaan sebanyak AS$300 juta untuk projek infrastruktur mampan, yang akan disediakan kepada rakan-rakan kongsi IPEF yang layak di bawah Tonggak III: Ekonomi Bersih.

    Pelaburan itu akan menggerakkan sehingga AS$900 juta modal ekuiti yang akan digunakan melalui I Squared Capital, pengurus pelaburan infrastruktur global, yang akan melabur dalam bidang seperti mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim, termasuk pelaburan berkesan dan mampan merentas tenaga boleh diperbaharui, pemulihan sumber dan infrastruktur digital.

    Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di MOFE, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri Mesyuarat IPEF Peringkat Menteri secara maya baru-baru ini. – Gambar serahan MOFE
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda