Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan tahun 1445 Hijrah, pagi tadi, telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan format dan tema sambutan, tarikh dan tempat mengadakan majlis
dan pengisian atur cara serta perkara-perkara yang berhubung kait.
Mesyuarat yang diadakan di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan.
Turut hadir semasa sesi bergambar ramai ialah penasihat bersama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu
Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, dan Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Mesyuarat berkenaan juga membincangkan cadangan-cadangan baru bagi nama majlis dan pengisian acara sambutan.
Menjadi harapan pihak jawatankuasa agar sambutan majlis hari-hari kebesaran Islam peringkat negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan sepanjang tahun 1445 Hijrah lebih teratur dan sempurna, dan sambutan diisi dengan acara bermanfaat yang boleh mendidik dan memupuk semangat cintakan Allah, cintakan RasulNya, cintakan agama dan raja dalam kalangan seluruh rakyat dan penduduk dan seterusnya menambahkan lagi keimanan kepada umat Islam khususnya di negara ini.