Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Seramai 51 orang ahli Muslimah Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait telah menghadiri Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) yang diadakan di Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Penerangan Kanan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya.
Rombongan Muslimah diketuai oleh Guru Ugama Terlatih dan Tenaga Pembimbing, Dayang Norfazillah binti Haji Sapar.
Pada majlis itu, Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Hajah Liyana binti Suhaimi selaku Pengerusi PMB dalam ucapan alu-aluannya berharap, pelaksanaan program akan disambut dengan baik dan dimanfaatkan sepenuhnya.
“Selain itu, ia dijadikan sebagai langkah bagi mewujudkan para peserta bermaklumat dan berilmu agar dapat sama-sama menanai hasrat kerajaan dalam mendukung pelaksanaan Wawasan Brunei 2035,” jelasnya.




Dalam program itu, peserta berpeluang mengikuti beberapa sesi taklimat yang meliputi bidang keusahawanan, konsep makanan halal dalam Islam dan peranan dan tanggungjawab rakyat dan penduduk kepada raja dan negara.
Taklimat bertajuk Peranan Darussalam Enterprise (DARe) dalam Pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) disampaikan oleh Pengurus dan Ketua Pasukan untuk Sokongan Kerajaan dan Perniagaan DARe, Dayangku Hajah Siti Normadinah binti Pengiran Haji Omarali.
Beliau antara lain mengongsikan penubuhan DARe bermatlamat untuk membangunkan perusahaan agar menjadi penggerak perkembangan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Taklimat mengenai Konsep Makanan Halal dalam Islam pula disampaikan oleh Pegawai Ugama, Dayang Hazimah binti Haji Aji yang antara lain menyentuh mengenai Akta Daging Halal Penggal 183 dan Perintah Sijil Halal dan Label
Halal 2005. Sementara itu, taklimat mengenai Peranan dan Tanggungjawab Rakyat dan Penduduk kepada Raja dan Negara telah disampaikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Dayang Zurairah binti Haji Lisa, yang menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat kepada negara dan pemerintah dalam sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Di samping itu, para peserta juga mengadakan beberapa sesi lawatan iaitu ke Galeri Lantera Makmur Jabatan Penerangan, Masjid Sufri Bolkiah dan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.
Dengan adanya program berkenaan, ia akan menjadi landasan yang unggul dalam mempertingkatkan hubungan yang erat dan mesra antara ahli Muslimah masjid dengan Jabatan Penerangan dalam usaha menjadikan masyarakat yang kaya ilmu dan maklumat.
Melalui program itu juga, Jabatan Penerangan berhasrat untuk menekankan lagi peranan dan tanggungjawab masyarakat kepada raja dan pembangunan negara melalui perisian program dalam bentuk taklimat, dialog dan lawatan ke tempat-tempat yang berpotensi membuka minda.
Selain menyuntik semangat peserta sekali gus memberikan motivasi ke arah melaksanakan aktiviti-aktiviti keusahawanan, pertanian dan sebagainya di kampung masing-masing, ia juga bagi menjana pertumbuhan ekonomi keluarga, masyarakat dan negara.

