Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Miami kecundang di tangan Al Hilal

    RIYADH, 30 JAN – Luis Suarez menjaringkan gol sulungnya untuk Inter Miami dan Lionel Messi menjaringkan penalti tetapi ia tidak mencukupi untuk menghalang pasukan Major League Soccer itu daripada kekalahan 4-3 di tangan pasukan Liga Pro Saudi, Al Hilal, di Riyadh, kelmarin.

    Tandukan pada minit ke-88 oleh penyerang Brazil, Malcom, menamatkan perlawanan persahabatan yang menghiburkan di Kingdom Arena selepas Miami bangkit 3-3 daripada ketinggalan 3-1 pada awal separuh masa kedua.

    Perlawanan itu merupakan perlawanan terbaharu jelajah pramusim Miami di dunia menjelang permulaan musim Major League Soccer pada 21 Februari.

    Bekas penyerang Fulham dan pemain antarabangsa Serbia, Aleksandar Mitrovic, meletakkan Al Hilal di hadapan pada minit ke-10, dengan tenang menanduk masuk melepasi penjaga gol Miami, Drake Callender, selepas satu gerakan yang berkesan memecah benteng pertahanan.

    Penyerang antarabangsa Arab Saudi, Abdullah Al-Hamdan, menjadikan kedudukan 2-0 selepas 13 minit, menghukum kesilapan pemain pertahanan Miami, Noah Allen, yang gagal menendang bola jauh melepasi kubu pertahanan mereka.

    Sergio Busquets sepatutnya menjaringkan gol untuk Miami pada minit ke-26 tetapi voli dari jarak dekat untuk menewaskan penjaga gol Al Hilal, Hbib Alwotayan, tersasar.

    Pada minit ke-34 tekanan oleh pasukan Miami membuahkan hasil. Hantaran tinggi dari Jordi Alba ke atas tepat ke petak pertahanan Al Hilal, dan Julian Gressel menyambar bola sebelum memberikan bola ke laluan Suarez untuk menyempurnakan gol.

    Gol itu pada mulanya tidak dibenarkan kerana ofsaid tetapi semakan VAR telah membatalkan ofsaid tersebut dan gol itu dikekalkan. – AFP

    Aksi Yasser (kanan), mengawal ketat Messi semasa perlawanan pameran persahabatan di Stadium Kingdom Arena di Riyadh pada 29 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...