Tuesday, April 22, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Micro Bootcamp jana idea perniagaan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Darussalam Enterprise (DARe) telah memulakan pusingan ketiga Micro Bootcamp dengan Ideation Day yang berlangsung di Auditorium iCentre, yang baharu sahaja diubahsuai, pada 10 Ogos lalu.

    Bengkel berkenaan menyaksikan penyertaan seramai 31 orang peserta yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memikirkan idea-idea perniagaan.

    Semasa bengkel berkenaan, perwakilan dari Golden Equator Consulting (GECo) menugaskan para peserta untuk memikirkan idea-idea perniagaan dalam satu industri tertentu yang kemudian dinilai menggunakan rangka kerja perniagaan terkenal dinamakan Lean Canvas.

    Program juga menyentuh mengenai perancangan perniagaan, pemahaman pelanggan, unjuran kewangan serta pemasaran dan perhubungan untuk menyediakan perusahaan-perusahaan kecil dengan kemahiran perniagaan asas.

    Ideation Day akan disusuli dengan boot camp fizikal selama seminggu, kursus keusahawanan selama dua minggu dan tempoh perlaksanaan dan pemantauan selama enam bulan di mana kemajuan para peserta akan dipantau.

    Wakil Golden Equator, Ho Wei Liang mengadakan sesi perbincangan dengan peserta.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan DARe, Micro Bootcamp yang sebelumnya dikenali sebagai The Micro Business Bootcamp merupakan program tiga minggu yang menyasarkan belia berusia 18 hingga 40 tahun yang berhasrat untuk memulakan perniagaan mikro (seorang hingga empat pekerja).

    Program bermatlamat untuk melengkapkan pemilik-pemilik perusahaan mikro dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan mapan dan menyediakan mereka dengan peluang-peluang untuk mengakses pakar-pakar yang boleh membantu pertumbuhan dan pembangunan mereka.

    Pusingan ketiga Micro Bootcamp ini akan dikendalikan oleh GECo dari Singapura yang juga memudah cara pusingan kedua program tersebut.

    GECo adalah kumpulan konsultan perniagaan yang memfokuskan digital yang membantu syarikat-syarikat bagi kemasukan pasaran, strategi pertumbuhan dan transformasi digital dan mempunyai rekod kejayaan dalam pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, kewangan dan penjagaan kesihatan.

    Dalam pusingan kedua, Micro Bootcamp telah membantu membangunkan lebih daripada 16 perniagaan mikro dan menyediakan pekerjaan kepada lebih daripada 30 orang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda