PETALING JAYA , 30 OGOS – Jaguh bina badan Malaysia, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan juara badminton para dunia Cheah Liek Hou masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022, malam ini.
Jaguh bina badan Malaysia, yang lebih dikenali sebagai Mike Mahen, itu mencuri tumpuan apabila mengatasi empat calon lain iaitu iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Lim Kok Leong (snuker), Muhammad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Ng Joe Ee (gimrama).
Mike, atlet berusia 50 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu mula meraih gelaran dunia pada 2016 dan mempertahankannya pada 2017, 2018 dan 2019 sebelum mengulangi pencapaian untuk kali kelima di Phuket, Thailand, tahun lalu.
Beliau merupakan atlet kedua daripada sukan bina badan meraih anugerah tersebut selepas Sazali Samad pada edisi 2013.
Sementara itu, seperti yang diramal, Liek Hou dipilih sebagai Atlet Para Terbaik 2022 dengan pencapaian rekod tanpa kalah yang dipegang juara badminton dunia tujuh kali musim lalu.
Atlet berusia 35 tahun itu merangkul juara bermula pada kejohanan Antarabangsa Brazil pada April 2022, diikuti kejohanan Antarabangsa Bahrain pada Mei, Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa Ireland pada Julai (dua emas) dan Kejohanan Badminton Para Dunia pada November.
Mike dan Liek Hou masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pada majlis tahunan itu di sebuah hotel di sini. – Bernama