Hanya bermodalkan suara, personaliti media sosial Indonesia, Mimi Peri, mampu meraih upah sebanyak RM600 bagi mengejutkan umat Islam bangun sahur.
Mimi atau Ahmad Jaelani, 37, berkata, ada juga golongan berada yang sanggup membayarnya sehingga RM5,000 semata-mata mahu dia mengejutkan mereka bangun menggunakan suaranya.
“Tahun ini naik sedikitlah, 2.5 juta rupiah (RM670). Ada juga polis turut membangunkan anggotanya dengan menggunakan suara saya.
“Ada pula permintaan daripada orang kaya yang kadang-kadang meminta saya ke rumah mereka dan berikan saya 20 juta rupiah (RM5,400) buat bangun mereka sekeluarga,” katanya dalam program Pagi Pagi Ambyar Trans TV, kelmarin.
Ramadan tahun lalu, Mimi memberitahu dengan hanya tempoh tiga hari mengambil upah dengan mengejutkan bangun sahur, dia mampu membeli telefon bimbit baharu jenis iPhone 15 Pro Max.
“Alhamdulillah puasa tahun ini saya sudah mampu untuk menukar telefon bimbit kepada iPhone 15 Pro Max. Ini adalah berkat daripada bangunkan orang untuk bersahur.
“Tiga hari kejut ‘sahur,sahur’, dapat ini (telefon),” ujarnya. – Agensi
