Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mimpi ngeri bagi petani

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 DIS – Hujan lebat berterusan yang dijangkakan sehingga 27 Disember ini, bukan sahaja membanjiri sebahagian kawasan rendah di negara ini, malahan satu mimpi ngeri bagi para petani di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) di Daerah Brunei dan Muara serta Temburong.

    Banjir kilat menjejaskan kegiatan pertanian, dengan kebanyakan batas tanaman telah ditenggelami air dan menyebabkan kerosakan pada tanaman di kawasan KKP Batumpu, KKP Limpaki dan KKP Si Bongkok di Batong, Daerah Brunei dan Muara manakala di Temburong, KKP Labu Estate.

    “Banjir tahun ini merupakan yang terburuk dan menjejaskan benih anak pisang jenis kapas, Sabah dan berangan yang musnah ditenggelami air.

    “Kami mengalami kerugian kira-kira $3,000 dan ada sebahagian yang ditanam pada tahun lepas dan mula berbuah, turut terjejas,” kata seorang pengurus yang enggan dikenali dari Syarikat Rohaiman di KKP Labu Estate, Temburong, semasa ditemu bual wartawan Media Permata.

    Menurutnya, pihak berkenaan juga telah membuat saluran longkang yang teratur dan membuat pembersihan longkang setiap tiga atau enam bulan sekali, namun banjir tetap tidak dapat dielakkan.

    Banjir kilat menenggelamkan salah sebuah ladang milik Sima Bina Trading di Daerah Brunei dan Muara.
    Ladang salah sebuah syarikat yang terjejas banjir kilat.

    Manakala beberapa lagi pengurus lain yang juga enggan dikenali antaranya dari ODE Aquaculture & Agriculture Co yang menjaga dua ladang buah-buahan di Labu Estate Temburong dan High Tech Farming Agrotech, Tungku menjelaskan masalah yang sering timbul semasa musim hujan di Temburong adalah serangan kulat.

    Manakala di Tungku, air paipnya tinggi kandungan manganese dan terpaksa menggunakan air tadahan hujan dan dirawat untuk tanaman mereka, tambahnya.

    Syarikat Hamnan Jaya Farm di Labu Estate turut berdepan cabaran banjir kali kedua tahun ini.

    Menurut pengurusnya, disebabkan anak sungai tidak cukup besar untuk menampung jumlah air hujan, kejadian banjir terus berlaku.

    Beliau bagaimanapun menekankan bahawa pihak relevan turut membuat tinjauan untuk melihat situasi banjir dengan lebih dekat dan membantu dari segi khidmat nasihat, taklimat dan pembersihan longkang serta kerja-kerja penambahbaikan seperti menaik taraf infrastruktur sistem pengairan dan saliran dari semasa ke semasa.

    Banjir turut memberikan impak terhadap keseluruhan keluaran hasil pertanian di negara ini dan membawa kerugian kepada syarikat, kata Pengurus Sima Bina Trading di KKP Batumpu.

    Ladang itu yang menanam jagung, bendi, lada dan kacang panjang tidak dapat meneruskan penanaman ketika ini kerana keadaan tanah yang terlalu lembap akibat takungan hujan.

    Menurutnya, kali ini banjir merupakan yang terburuk pernah dialami, sama seperti yang dialami rakan pengusaha tanaman lain.

    Pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan secara berterusan juga memberikan khidmat nasihat dan kerja-kerja penambahbaikan seperti mitigasi banjir di KKP Batumpu, ujarnya.

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda