LIMBANG, 2 OKT – Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) 2022 yang melabuhkan tirai penutupnya di sini hari ini telah berjaya mencapai kutipan jualan tunai lebih RM400,000.
Ini melepasi sasaran awal Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebanyak RM200,000 bagi karnival yang bermula Jumaat lepas.
“Jika kita mengambil kira tempahan dan pemadanan perniagaan sepanjang dua hari setengah karnival ini berlangsung nilai keseluruhan yang telah berjaya dicatatkan mencecah hampir RM1.1 juta,” kata menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa merasmikan majlis penutup karnival itu di Kompleks Sukan Limbang di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan rekod sehingga tengah hari hari tadi, lebih 30,000 orang telah berkunjung ke karnival itu.
Mini KUD di Limbang adalah antara inisiatif di bawah KPLB untuk memperkasakan sistem pembiayaan kewangan, kemudahan fizikal dan sistem sokongan luar bandar kepada usahawan. – Bernama
