Penyanyi Misha Omar meluahkan rasa bangga dengan kejayaan diperoleh Ernie Zakri di Anugerah SCTV 2024 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada malam Rabu.
Menyifatkan Ernie sebagai duta baharu negara, Misha atau Samihah @ Aishah Omar, 42, berkata penyanyi itu memiliki bakat besar dan mampu melangkah lebih jauh dalam bidang seni.
“Tahniah Ernie, kak Mitch (panggilan Misha) bangga dengan awak. Hati saya tersenyum berbunga-bunga tengok gambar ni.
“Saya sangat gembira, akhirnya ada duta baharu untuk industri muzik kita yang kecil comel orangnya tapi punya suara dan jiwa besar,” katanya yang dikongsi mStar.
Misha berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di cerita Instagram semalam.
Dalam pada itu, Misha berharap kemenangan itu juga dapat menjadi asbab untuk menarik lebih ramai peminat di Indonesia bagi menghayati karya muzik dari Malaysia.
Misha turut mendoakan kejayaan Ernie untuk lebih bersinar di persada muzik Malaysia dan seluruh Asia.
“Mudah-mudahan ini juga penggerak untuk mengajak pendengar dari seberang (Indonesia) untuk dengar juga katalog muzik penyanyi-penyanyi negara kita yang lain. Semoga terus mengukir nama di persada muzik Malaysia dan Asia. Saya sayang awak,” ujarnya.
Pada Rabu, lagu nyanyian Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, bersama komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda berjudul Masing-Masing dinobatkan sebagai pemenang kategori Soundtrack Sinetron Paling Ngetop (OST) di Anugerah SCTV 2024 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia. – Agensi