LOS ANGELES, 28 JULAI – Juara bertahan Mexico dan tuan rumah, Amerika Syarikat (AS) akan berusaha untuk mara ke final Piala Emas dengan kemenangan di Texas Khamis ini.
Pasukan Mexico akan menentang Kanada di Houston di perlawanan separuh akhir, sementara AS akan menjadi tuan rumah menentang Qatar di Austin.
Kedua-dua pemenang akan bertemu Ahad ini di Las Vegas dalam perlawanan akhir wilayah CONCACAF ke-16.
Juara lapan kali Mexico mengalahkan AS 1-0 pada final 2019. Kedua-dua pasukan telah bertemu enam kali di final Piala Emas, dengan pasukan Mexico memenangi semua kejohanan kecuali pada 2007, ketika pasukan AS, enam kali pemegang trofi itu, menang 2-1.
Juara Piala Asia, Almoez Ali dari Qatar merupakan penjaring terbanyak dalam kejohanan itu, sementara AS dipimpin oleh dua gol dari penyerang Orlando City, Daryl Dike.

“Tanpa keraguan ia akan menjadi sukar. Qatar kelihatan hebat dalam kejohanan ini. Mereka sudah berada di separuh akhir. Itu memberi amaran kepada anda,” kata jurulatih AS, Gregg Berhalter.
Pemain tengah AS, Cristian Roldan, yang bermain untuk Seattle Sounders di Major League Soccer, memberitahu pasukan Qatar akan sukar untuk ditembusi.
“Kami mempunyai aspirasi tinggi sebagai satu pasukan,” kata Roldan. “Qatar akan menjadi sangat sukar. Mereka bermain formasi 5-3-2, mereka benar-benar sukar untuk ditembusi dan mereka adalah pasukan hebat, jadi kami harus lebih bijak.”
Sementara Qatar, tuan rumah Piala Dunia 2022, berusaha melakukan yang terbaik menjelang Piala Dunia tahun depan, Kanada pula akan berusaha untuk mara ke final kedua.
Kanada yang sebelum ini tewas 1-0 di tangan Amerika Syarikat pada peringkat kumpulan, akan berusaha menjadi negara pertama yang menjaringkan gol menentang El Tricolor.
Kanada mengalahkan Mexico 2-1 pada suku akhir 2000 dalam satu-satunya pertemuan sebelumnya dalam pertandingan pusingan kalah mati. – AFP