SHAH ALAM, 6 OGOS – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyambut baik kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mengenai tiada langkah pencukaian baharu dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan.
Menterinya, Datuk Darell Leiking menyifatkan perkara itu sebagai berita baik untuk kalangan industri yang sebaliknya boleh memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan prestasi masing-masing.
“Bagaimanapun biarlah kita tunggu butiran lanjut yang dimaksudkan oleh Lim dan kita berharap lebih banyak berita baik diumumkan apabila belanjawan itu dibentangkan kelak,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Menteri MITI di SIRIM Bhd, hari ini.
Mengulas kenyataan Lim mengenai langkah luar jangka jika pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China kian meruncing, Darell berkata ini akan membabitkan Kementerian Kewangan dan MITI akan dimaklumkan mengenai cara pengurangan dari segi perdagangan dan pelaburan.
Menurutnya, ini berikutan AS dan China merupakan rakan dagang utama Malaysia.
“Mereka membeli daripada kita dan begitulah sebaliknya. Apabila mereka menyebut mengenai keperluan mencari jalan penyelesaian, ini harus dilakukan secepat mungkin kerana ia soal tanggung jawab mereka kepada kita dan global.
“Bagi saya, jika mereka ada masalah maka mereka juga bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian. Bukan sahaja untuk mereka tetapi demi (kepentingan) dunia kerana kita adalah sebahagian daripada rantaian nilai dan bekalan mereka,” katanya.
Selain itu, menyentuh APEC 2020 yang dihoskan Malaysia nanti, Darell menegaskan usaha itu memerlukan kerjasama kementerian dan 11 agensi di bawahnya bagi menjayakan acara itu. – Bernama