SAINT-ETIENNE, Perancis, 23 Feb – Henrkh Mkhitaryan dan Michael Carrick mungkin terlepas pertembungan final Piala Liga selepas dilanda kecederaan ketika membantu Manchester United menang 1-0 ke atas Saint Etienne pada aksi timbal balik Liga Europa, awal pagi tadi.
Pemain sayap Armenia, Mkhitaryan menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 pada peringkat 32 terakhir itu di Stadium Geoffroy Guichard sekali gus memberikan kelab Liga Perdana Inggeris itu kemenangan besar 4-0 menerusi agregat.
Begitupun, dia terpaksa dipapah keluar berikutan kecederaan hamstring pada minit ke-25 dengan Carrick juga terpaksa meninggalkan padang selepas sejam perlawanan berlangsung selepas mengadu masalah betis.
United dijadual menentang Southampton pada final Piala Liga di Wembley, Ahad ini.
Gol tunggal daripada Mkhitaryan tiba pada minit ke-16 permainan apabila dia bijak mencuri ruang untuk menyempurnakan hantaran Juan Mata namun ia cukup untuk membunuh semangat St Etienne yang sebelum ini tewas 3-0 di Old Trafford pada aksi pertama, minggu lalu.
![Pemain Man United, Henrikh Mkhitaryan meraikan jaringan pembukaan semasa menentang Sait Etienne pada pusingan 32 terakhir Liga Europa di stadium Geoffroy Guichard di Saint Etienne, kelmarin. – AFP](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/mkit_240217.jpg)
Situasi menjadi lebih buruk buat United apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Eric Bailly dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-63 sebelum Carrick juga terpaksa dikeluarkan menyaksikan pelawat terpaksa beraksi dengan corak bertahan.
Jose Mourinho sekali lagi mengkritik Persatuan Bola Sepak Inggeris mengenai jadual padat perlawanan kerana terpaksa beraksi di suku akhir Piala FA menentang Chelsea di laman lawan pada Selasa, tiga hari sebelum mereka mengharungi perlawanan peringkat 16 terakhir Liga Europa.
“Saya amat terkejut dengan keputusan ini dibuat sebelum undian kami di Eropah, kerana ketika ini, tiada siapa yang tahu siapa yang akan kami lawan. Di mana perlawanan pertama dan perlawanan kedua?
“Bayangkan kami bertemu Chelsea pada Isnin dan kemudian perlu mengharungi perlawanan kedua Eropah di Rusia, Turki atau Greece.
“Saya fikir apabila lebih banyak tarikan (televisyen) mengatasi kelab dan liga Inggeris, tiada siapa mengambil berat mengenainya lagi.” – AFP