Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama persatuan-persatuan orang kelainan upaya yang bergabung dengannya tidak ketinggalan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya, hari ini.
Majlis yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu dihasratkan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) dan ahli-ahli persatuan yang bergabung bersama MKOKU.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Di-Pertua MKOKU, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab dan isteri.
Pada acara itu, tetamu kehormat berpeluang beramah mesra dengan ahli-ahli persatuan dengan melawat ke kios persatuan-persatuan berkenaan.
Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan oleh golongan OKU dan cabutan bertuah selain menikmati juadah yang disediakan.
Persatuan yang bergabung dengan MKOKU termasuk Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), PAPDA, Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD), Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Brunei Darussalam (BDNAB), ABLE, SMARTER, Learning Ladder Society (LLS) dan Paralympik.
Turut hadir di majlis itu ialah pegawai-pegawai kanan Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi MKOKU, yang di-pertua persatuan-persatuan yang bergabung dengan MKOKU serta ahli keluarga.



