Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    MMN mula bersidang 2 Mac

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) akan berlangsung pada 2 Mac di Bangunan Dewan Majlis.

    Pembukaan rasmi mesyuarat itu akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan pengurniaan titah sebagai bermulanya Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 MMN.

    Persidangan itu akan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dengan dibantu oleh Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.

    MMN 2023 akan membincangkan dan meluluskan perkara utama iaitu Rang Undang-undang (2023) Perbekalan, 2023/2024, melalui tiga peringkat sebelum ia dapat diluluskan sepenuhnya dan diwartakan untuk diguna pakai bermula 1 April 2023.

    Persidangan MMN memasuki usianya 19 tahun sejak penubuhan semula pada 2004 dan ia telah menjadi satu platform kepada ahli-ahli MMN sebagai wakil kepada suara rakyat dalam mengetengahkan isu-isu nasional dan membahaskan perkara-perkara utama yang strategik di dalam meneliti dan menyumbangkan idea-idea kepada polisi serta dasar-dasar kerajaan bagi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

    Ahli-ahli MMN seramai 34 orang adalah terdiri daripada ahli rasmi kerana jawatan, orang-orang bergelar, orang-orang yang telah mencapai kecemerlangan dan wakil-wakil yang dilantik dari daerah-daerah Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai boleh mengikuti rakaman persidangan harian melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera pada jam 9 malam bagi persidangan sesi pagi dan pukul 10:50 malam bagi persidangan sesi petang dengan laporan harian juga boleh dibaca di laman sesawang rasmi MMN, www.majlis-mesyuarat.gov.bn.

    Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 MMN akan berlangsung pada 2 Mac di Bangunan Dewan Majlis.- Gambar fail oleh Muiz Matdani

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda