Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    MOH anjur sambutan Hari Fisioterapi Sedunia

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 08 SEPT – Kementerian Kesihatan (MOH) melalui Perkhidmatan Fisioterapi telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Fisioterapi Sedunia 2024 bertempat di BIBD Connects dan tempat letak kereta Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Ku Ceria, Bandar Seri Begawan pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Turut hadir di majlis ini ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Hj Mohsin; Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Pengiran Muhammad Amirrizal bin Pengiran Hj Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Pengarah-Pengarah, Pegawa-Pegawai Kanan, Pegawai dan Kakitangan daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, pusat-pusat perubatan swasta dan Persatuan-Persatuan dan pelbagai organisasi bukan kerajaan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Ustaz Khairunnisa bin Hj Zainin, Guru Ugama Terlatih, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan diteruskan dengan aktiviti Movement For Health yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham.

    Aktiviti Movement for Health berkenaan melibatkan peserta majlis dari semua peringkat umur dan keupayaan untuk bergerak sama ada menggunakan alat bantu berjalan, mahupun yang menggunakan kerusi roda atau peralatan mobiliti lain di sepanjang laluan yang dikhaskan sejauh 2.5 kilometer mengelilingi Bandar Seri Begawan di dalam suasana dan persekitaran yang kondusif dan inklusif untuk semua.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyempurnakan upacara pelancaran.
    Aktiviti Movement for Health yang bermula.

    Terdapat juga pameran-pameran dari pusat-pusat fisioterapi seluruh negara yang mempamerkan perkhidmatan yang ditawarkan dan aktiviti kegiatan fizikal bagi setiap lapisan umur dan keupayaan seperti sukaneka dan juga kuiz yang terbuka kepada orang ramai.

    Atas & Bawah: Antara pameran yang diadakan semasa acara berkenaan.

    Antara yang hadir memeriahkan majlis.

    Antara pusat fisioterapi yang mengambil bahagian dalam acara ini adalah Unit Fisioterapi, Kementerian Kesihatan; Pusat Optima dan Kecergasan Tentera, Kementerian Pertahanan; Pusat Perubatan dan Penyelidikan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Pusat Pakar Pantai Jerudong; Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park; Traphy (Physiotherapy & Sports Science Centre); Core Physiotherapy; Pusat Kesihatan Panaga dan Spine Joint Physiotherapy

    Seorang jurupulih Anggota di Kementerian Kesihatan, Dayang Nuraimi Mahirah binti Haji Islam, ketika ditemu bual menyatakan bahawa sambutan Hari Fisioterapi Sedunia 2024 adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya fisioterapi dalam kehidupan seharian.

    Dayang Nuraimi ketika ditemu bual mengenai fisioterapi.

    Tambahnya, fisioterapi memfokuskan kepada pergerakan bertujuan merawat pesakit atau sesiapa sahaja yang ada masalah fizikal dengan mengoptimumkan pergerakan melalui latihan senaman dan rawatan hands on kepada mereka. Fisioterapi bukan hanya kepada pesakit-pesakit tetapi penting kepada mereka yang suka bersukan, atlet dan lebih-lebih lagi mereka yang meminat sukan yang lasak.

    Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, Hari Fisioterapi Sedunia diraikan setiap tahun pada 8 September 2024 di seluruh dunia. Pada tahun ini, Perkhidmatan Fisioterapi dari kementerian mengambil peluang memberi lebih pendedahan kepada orang ramai tengan khidmat fisioterapi di seluruh negara selaras dengan visi Kementerian Kesihatan – Bersama Ke Arah Warga Sihat.

    Gambar ramai Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bersama sebahagian yang hadir semasa majlis berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda