HOUSTON, 1 FEB – Dua ekor monyet spesies emperor tamarin yang hilang muncul semula dalam keadaan sihat hari ini, sehari selepas hilang dari Zoo Dallas dalam insiden pelik terbaharu di zoo berkenaan.
Polis Dallas berkata dua haiwan itu, dilaporkan hilang pada Isnin, mungkin dibawa keluar dari zoo secara sengaja dan mereka mengeluarkan gambar seorang lelaki yang mungkin mempunyai kaitan dengan kehilangan monyet berkenaan.
Namun segala-galanya berakhir dengan baik apabila polis Dallas semalam berkata di Twitter mereka berjaya mengesan dua ekor monyet di sebuah rumah terbiar di bandar Lancaster, 25 kilometer dari selatan zoo.
Jabatan polis menyiarkan gambar monyet tamarin yang mempunyai misai putih, duduk di pagar sambil bersandar di tembok.
“Gambar menunjukkan salah seekor monyet masih berada dalam bilik rumah tersebut,” kata polis Dallas. “Monyet berkenaan telah dikembalikan ke zoo.”
Dalam kejadian terbaharu itu, zoo berkata pekerja mencari berdekatan habitat monyet dan perkarangan zoo namun gagal menemui emperor tamarin, yang ‘tidak suka merayau-rayau jauh dari tempat tinggal.’
“Berdasarkan penilaian awal Jabatan Polis Dallas, mereka percaya tamarin itu telah diculik,” menurut kenyataan zoo.
Emperor tamarin ialah monyet kecil dengan misai putih panjang dan dinamakan atas kemiripan wajahnya dengan maharaja Jerman, Wilheim II. Monyet tersebut berasal dari kawasan barat daya Amazon. – AFP