LENOVO telah melancarkan telefon pintar kemegahan terbarunya, Moto Z2 Force yang seperti telefon pintar ‘Force’ sebelumnya dalam siri Moto Z, menampilkan paparan ShatterShield, dijamin tidak akan retak atau pecah.
Moto baru ini dihasilkan menggunakan aluminium siri 7000 dan rekaan unibody se-tebal 6.1mm tanpa jek fon kepala 3.5mm sebaliknya menggunakan port USB Type-C, penyesuai 3.5mm ke USB Type-C juga tersedia dalam kotak.
Profilnya yang super nipis juga mengehadkan baterinya pada 2730mAh dan lapisan nano kalis air juga ditambah. Panel belakang menonjolkan penyambung pogo pin bagi Moto Mods.
Ia juga serasi dengan platform Daydream VR Google. Pengimbas cap jarinya terletak pada punat utama, yang juga menampilkan ciri navigasi satu punat baru yang pertama kali diperkenalkan pada siri Moto G5.
Peranti ini akan terdapat dalam dua varian RAM iaitu RAM 4GB dengan storan dalaman 64GB dan RAM 6GB dengan storan 128GB, sementara itu, sebilangan rantau akan menerima model dua SIM.


Menggunakan Android 7.1.1 Nougat (dengan dijanjikan pengemaskinian ke Android O), Moto Z2 Force menonjolkan paparan POLED ShatterShield QHD (1440×2560 piksel). Ia dikuasakan dengan SoC Qualcomm Snapdragon 835 yang dipadankan dengan sama ada RAM 4GB atau 6GB.
Dari segi kameranya, Moto Z2 Force dilengkapi dua ka-mera 12MP di belakang, dengan salah satunya merakam cahaya berwarna dan satu lagi dalam monokrom. Kedua-duanya menampilkan sensor Sony IMX386 dengan 1.25-mikron piksel dan apertur f/2.0.
Kamera belakang juga mengetengahkan PDAF, laser autofokus dan denyaran dua LED CCT. Dengan tetapan ini, pengguna dapat menggunakan ciri-ciri seperti bokeh, hitam dan putih terpilih, penggantian latar belakang dan masa sebenar serta post shot depth.
Sementara itu, di depan pula terdapat kamera 5MP dengan apertur f/2.2, lensa sudut luas 85 darjah dan modul denyaran LED.
Storan dalamannya boleh ditambah sehingga 2TB menerusi kad mikroSD.
Pilihan sambungannya termasuk 4G LTE, dual-band Wi-Fi 802.11ac, Bluetooth v4.2 (sokongan v5.0 akan ditambah dengan kemas kini Android O), NFC, GPS/ A-GPS dan USB Type-C.
Sensor-sensornya pula termasuk akselerometer, sensor cahaya ambien, barometer, giroskop, magnetometer dan sensor kedekatan.
Bateri 2730mAh pada peranti ini didatangkan dengan pengecas 15W TurboPower. Moto Z2 Force mempunyai ukuran 155.8x76x 6.1mm dan berat 143g.
Di samping Moto Z2 Force, Lenovo juga telah melancarkan koleksi alat tambahan Moto Mod baru iaitu Moto 360 Camera yang boleh merakam video 4K 360 darjah di samping audio 3D.
Di samping itu, pengguna juga akan dapat mengambil gambar pegun sudut luas 150 darjah dengan kamera berkenaan.