Gambar oleh Infofoto
REPUBLIK SINGAPURA, 26 OGOS – Bekalan makanan, produk perubatan dan penyelesaian pengangkutan merupakan tiga fokus utama yang dikenal pasti di bawah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Kerjasama Memperkukuhkan Perdagangan dan Pelaburan dalam Produk Makanan dan Perubatan.
Menandatangani MoU itu bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, manakala kerajaan Republik Singapura diwakili oleh Menteri Perdagangan dan Industri, Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong.
Di bawah MoU itu, Brunei dan Singapura akan bekerjasama untuk memudahkan, mempromosi dan mengukuhkan ketahanan bekalan produk makanan dan perubatan serta pengangkutan efisien bagi barangan tersebut.
Penandatanganan MoU itu juga mewujudkan sebuah Jawatankuasa Bersama Brunei-Singapura, bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua buah negara dan memudahkan pelaksanaan projek-projek bersama.
Perjanjian itu merupakan salah satu daripada empat MoU yang ditandatangani oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena keberangkatan negara Baginda ke Republik Singapura.
Keempat-empat MoU itu ialah Kerjasama dalam Pembangunan Kapasiti Perkhidmatan Awam, Biasiswa Pendidikan Belia Brunei-Singapura, Kerjasama Memperkukuhkan Perdagangan dan Pelaburan dalam Produk Makanan dan Perubatan serta Kerjasama dalam Tenaga dan Ekonomi Hijau.
Bagi MoU Kerjasama dalam Tenaga dan Ekonomi Hijau yang juga ditandatangani oleh Yang Berhormat Dato
Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan TYT Gan Kim Yong, ia menandakan komitmen dua negara terbabit dalam penyediaan, sebuah rangka kerja bagi kerjasama dalam bidang tenaga dan ekonomi hijau melalui empat bidang fokus iaitu tenaga dan ekonomi hijau termasuk peralihan tenaga, teknologi-teknologi rendah karbon baharu, penangkapan dan penyimpanan karbon, dan pasaran karbon.
Sementara itu, MoU Kerjasama dalam Pembangunan Kapasiti Perkhidmatan Awam yang ditandatangani oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan bagi pihak Singapura diwakili oleh Menteri Pendidikan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, TYT Chan Chun Sing, adalah bertujuan untuk mewujudkan kerjasama antara JPM Brunei dengan Bahagian Perkhidmatan Awam, Singapura.
Singapura akan menjadi hos bagi penempatan para penjawat awam Brunei di beberapa buah kementerian dan agensi berkaitan kerajaan, yang juga akan membuka peluang-peluang latihan dalam perkhidmatan awam Singapura.
Sementara itu, MoU Biasiswa Pendidikan Belia Brunei-Singapura telah ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Brunei, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan TYT Chan Chun Sing bertujuan untuk mengukuhkan pertukaran belia dan pemimpin masa depan Brunei dan Singapura, serta meningkatkan persahabatan dan kesalingfahaman antara kedua-dua buah negara.
Biasiswa tersebut akan ditawarkan kepada para penuntut Brunei yang tertentu di peringkat prauniversiti, bermula dari sekolah menengah.