Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU tingkat kerjasama strategik ASEAN-Australia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Dalam usaha untuk meningkatkan dan membangunkan aktiviti kerjasama antara ASEAN dan Australia, memorandum persefahaman (MoU) bagi Australia for ASEAN Futures Initiative (Aus4 ASEAN Futures Initiative) telah dimeterai pada majlis penandatanganan yang berlangsung di Sekretariat ASEAN, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat ASEAN, MoU itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi dan Duta Australia ke ASEAN, TYT Will Nankervis.

    Majlis penandatanganan tersebut juga dihadiri oleh wakil-wakil tetap dari negara-negara anggota ASEAN yang diketuai oleh Wakil Tetap Laos ke ASEAN sebagai Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-Australia, TYT Bovone-that Douangchak.

    Dalam ulasannya, TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi berkata Aus4ASEAN Futures Initiative bukan sahaja dihasratkan untuk menangani cabaran-cabaran serantau yang kompleks seperti sekuriti kesihatan serta mempromosi ekonomi circular, ia juga akan menyokong pelaksanaan praktikal ASEAN Outlook on the Indo-Pacific dan membolehkan lebih sokongan bagi inisiatif-inisiatif merentas sektor di serata ketiga-tiga tunggak Komuniti ASEAN.

    Beliau menambah ASEAN gembira dan mengambil maklum bahawa pengembangan itu termasuk ASEAN Political Security dan Komuniti Sosiobudaya serta Komuniti Ekonomi ASEAN yang disokong bawah Australia for ASEAN-Economic and Connectivity, iaitu program pengganti kepada ASEAN-Australia Development Cooperation Program Phase II (AADCP II).

    TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi dan TYT Will Nankervis bergambar bersama dokumen semasa majlis penandatanganan yang berlangsung di Sekretariat ASEAN, baru-baru ini. – Gambar serahan Sekretariat ASEAN

    Menurut kenyataan itu lagi, MoU Aus4ASEAN Futures Initiative akan memudahkan pembangunan aktiviti-aktiviti kerjasama fleksibel dan berpandukan permintaan di antara ASEAN dan Australia, menyediakan sebuah rangka kerja menyeluruh di mana program-program kerjasama pembangunan dapat dikenal pasti, dilaksanakan, dipantau serta dinilai bersama.

    TYT Will Nankervis dalam ulasannya menyatakan, MoU yang dimeterai itu merupakan satu langkah yang penting dalam memajukan Kerjasama Strategik Komprehensif ASEAN-Australia (CSP).

    Beliau menambah Australia komited untuk memastikan CSP berkenaan menyampaikan kandungan yang nyata bagi ASEAN, Australia dan rantau tersebut di mana Futures Initiative merupakan bahagian penting kandungan itu.

    “Ia akan memajukan ke hadapan projek-projek yang dipersetujui bersama di antara ASEAN dan Australia yang menangani cabaran-cabaran kompleks seperti perubahan iklim, sekuriti kesihatan, jenayah rentas negara, lautan sihat, ekonomi circular dan peralihan tenaga,” ujarnya.

    Beliau turut menyatakan ia akan menyediakan sebuah mekanisme fleksibel yang menyokong kesemua tiga tunggak Komuniti ASEAN iaitu ekonomi, sosiobudaya dan politik-sekuriti serta juga isu-isu silang termasuk kesalinghubungan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda