Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Kampung Jerudong ‘A’ kini mempunyai majlis perundingan kampung (MPK) sendiri dengan mesyuarat bagi pemilihan ahli-ahlinya telah diadakan baru-baru ini di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis berkenaan ialah Pemangku Ketua Kampung Jerudong ‘A’, Awang Mohd Nazmi Faiz bin Haji Abu Bakar.
Turut hadir ialah, Penasihat MPK Jerudong dan penduduk Kampung Jerudong ‘A’, Haji Pungut bin Kassim.
Tetamu kehormat dalam ucapannya berkata, MPK merupakan salah satu inisiatif institusi di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu bahagian institusi mukim dan kampung.
Peranan utama MPK adalah mengadakan permuzakarahan dan perundingan dari semasa ke semasa demi mempertingkatkan lagi kesejahteraan dan kebajikan kampung, termasuklah menangani apa jua isu atau masalah seperti kegiatan-kegiatan yang berunsurkan negatif dan boleh menjejaskan perpaduan, keharmonian, keselamatan, ketenteraman kampung atau mukim masing-masing.
MPK juga berperanan memeduli kesejahteraan dan kebajikan golongan-golongan yang daif, termasuk kalangan anak-anak yatim dan warga emas yang memerlukan bantuan di samping bekerjasama secara bersepadu dengan pihak kerajaan, swasta dan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau seterusnya berkata, mesyuarat berkenaan juga diadakan untuk mengeratkan silaturahim antara penduduk satu kampung dengan kampung lain, dapat mengongsikan dan membincangkan idea-idea yang telah difikirkan, boleh melaksanakan tugas melibatkan penduduk kampung dengan lebih cepat dan cekap serta boleh membantu menyelesaikan masalah jika kampung jiran menghadapi masalah.