MOGADISHU, 25 JULAI – Medecins Sans Frontieres (MSF), juga dikenali sebagai Doctors Without Borders, menarik diri daripada meneruskan perkhidmatan di wilayah Somaliland, Somalia ekoran peningkatan serangan keganasan, lapor Xinhua.
MSF, sebuah badan amal perubatan antarabangsa, berkata keadaan yang tidak menentu selain insiden berulang telah menjejaskan keselamatan serta mengganggu penghantaran bekalan perubatan di Las Anod sehingga menyukarkan penyediaan rawatan perubatan di Las Anod General Hospital.
“Kami kesal kerana terpaksa menghentikan sokongan perubatan yang sudah pasti akan memberi kesan kepada orang ramai untuk mengakses rawatan penjagaan perubatan penting, susulan konflik yang berterusan.
“Kami perlu bekerja dalam persekitaran yang standard minimum keselamatan pesakit dan pekerja penjagaan kesihatan dijamin,” kata wakil MSF, Dana Krause dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Mogadishu.
Dalam pertempuran pada 8 Julai, hospital turut terjejas menyebabkan kecederaan dalam kalangan petugas perubatan selain merosakkan ambulans dan memaksa penutupan wad bersalin.
Serangan di Las Anod sebelum ini turut meragut nyawa pekerja kesihatan dan sukarelawan, kata badan amal itu. – Bernama
