Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    MSU-MPK Belimbing jalin kerjasama

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Menyedari keperluan kepada kerjasama pintar antara komuniti kampus dan komuniti setempat, Management and Science University (MSU) Malaysia melalui Alumni MSU Brunei Chapter telah menjalinkan kerjasama dengan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belimbing, Mukim Kota Batu khususnya Taman Riadah Tasik Serubing.

    Majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama berkenaan telah diadakan hari ini di taman riadah berkenaan di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.

    Juga hadir ialah Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Ketua Kampung Belimbing, Haji Daud bin Jihan.

    Tan Sri Dato Wira Dr Mohd Shukri ketika ditemu bual berkata, program Community Engagement Brunei Chapter itu merupakan sebahagian daripada program utama yang dilaksanakan di universiti berkenaan.

    Ia bertujuan untuk membudayaka matlamat pembangunan mapan (SDG) dan dalam konteks berkenaan, pihak berkenaan telah melaksanakan banyak program untuk komuniti di Malaysia, tetapi pihak berkenaan telah membawanya ke peringkat global.

    TYT Dato’ Raja Reza hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu.
    Tetamu kehormat bersama para jemputan menanam pokok buah-buah di kawasan taman riadah berkenaan.

    Menyentuh mengenai MoU tersebut, Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri berkata, ia bukan sahaja untuk hari ini, akan tetapi menyasarkan program jangka panjang sepertimana yang dilakukan di negara-negara lain.

    “Kita juga memberikan peruntukan di masa akan datang untuk memperbanyakkan program-program termasuk untuk melihat fasiliti, upgrading, program riadah, program pendidikan mengenai SDG di Negara Brunei Darussalam,” ujarnya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, MoU merangkumi aspek jalinan komuniti, pembangunan modal insan, penyelidikan serta pendidikan dan pembelajaran.

    Sebagai kampung angkat MSU, Kampung Belimbing bakal menjadi pusat kepada aktiviti-aktiviti komuniti melibatkan alumni MSU Brunei Chapter, komuniti setempat serta pelajar sekolah menengah atau maktab.

    Antara 20 sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Menengah Sayyidina Hasan dan lain-lain.

    Aktiviti komuniti yang telah dan bakal dijalankan termasuklah gotong-royong
    membersihkan dan mengindahkan landskap sekitar taman rekreasi tersebut, menaik taraf kemudahan serta penanaman pokok di mana kebanyakan aktiviti telah bermula sejak September lalu.

    Sebagai kesinambungan, MSU akan menggerakkan dan meluaskan peranan Yayasan MSU, fakulti-fakulti serta Kolej MSU Sabah dan Sarawak untuk turut sama terlibat secara langsung dalam memastikan kerjasama berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang khasnya dalam menjalankan aktiviti-aktiviti bersama masyarakat setempat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda