Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mualaf tetap utamakan hubungan kekeluargaan

    KUALA LUMPUR – Bagi kaum Cina, tiada yang lebih penting ketika Tahun Baru Cina melainkan keluarga dan peluang berhimpun bersama-sama pada hari istimewa itu.

    Perkara ini lebih mudah disebut daripada diamalkan. Lumrah manusia sentiasa berubah. Talian persaudaraan ada kalanya terputus.

    Untuk mengekalkan silaturrahim itu memerlukan usaha, sifat memahami dan menerima perbezaan.

    Masih segar pada ingatan Shawwal Chan Pui Mun, 30, betapa keluarganya terkilan apabila beliau memeluk Islam pada 2010 dan seterusnya mengahwini seorang warga Pakistan.

    “Kakak dan ibu bapa saya banyak menangis. Mereka bimbang kerana bukan sahaja saya telah bertukar agama, malah mengahwini seorang yang bukan warga tempatan,” katanya kepada Bernama.

    Kaum keluarga Cina Muslim bergambar pada majlis Makan Malam Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) sempena sambutan Tahun Baru Cina 2017 di Restoran Grand Imperial Seri Pacific baru- baru ini. – Bernama
    Kaum keluarga Cina Muslim bergambar pada majlis Makan Malam Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) sempena sambutan Tahun Baru Cina 2017 di Restoran Grand Imperial Seri Pacific baru- baru ini. – Bernama

    KL02_020217_CHINESE

    Adik-beradiknya juga risau akan kehilangan seorang kakak dan adik apabila beliau bergelar Muslim.

    “Saya pujuk dan beritahu mereka, walau apa pun terjadi, saya tetap kakak dan adik mereka. Kita tetap sekeluarga,” katanya ketika ditemui di acara Grand Chinese New Year Reunion Dinner Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bertempat di Grand Imperial Restaurant by Haji Sharin Low di Hotel Seri Pacific.

    Air yang dicincang

    Islam tidak menuntut seseorang itu meninggalkan keluarga, bangsa mahupun budaya setelah memeluk Islam.

    Sebaliknya, ia menggalakkan penganut baru merapatkan hubungan kekeluargaan serta hormat kepada ahli keluarga mereka yang bukan Islam.

    Namun masih ramai yang beranggapan seseorang itu akan kehilangan identiti budayanya selepas memeluk Islam.

    “Ahli keluarga saya mengambil masa agak lama untuk menerima hakikat yang saya telah menjadi Muslim. Namun selepas setahun, mereka mendapati saya masih seperti dahulu, cuma agama dan amalan saya sedikit berbeza. Saya masih kakak, adik dan anak mereka,” katanya.

    Masih segar di ingatan Shawwal kata-kata ibu dan bapanya sebulan selepas beliau memeluk Islam.

    “Kata mereka, walaupun saya sudah memeluk Islam dan berkahwin, saya tetap anak mereka. Saya tidak harus melihat diri saya sebagai orang luar tetapi sebahagian daripada keluarga mereka. Jadi, kalau suami atau mertua saya tidak melayan saya dengan baik, saya boleh pulang ke pangkuan mereka pada bila-bila masa.

    “Ini rumah saya, mereka kata. Pintu rumah sentiasa terbuka untuk saya. Dan mereka mengotakan janji mereka. Sehingga ke hari ini mereka menerima saya dengan tangan terbuka,” ceritanya.

    Ketika berhenti kerja kerana mengandung hampir empat tahun lalu, Shawwal memujuk suaminya untuk berpindah ke rumah sewa yang lebih dekat dengan rumah keluarganya di Cheras. Suaminya bersetuju.

    “Apabila kakak saya mendapat tahu saya mengandung dan hendak berpindah rumah, beliau menasihati saya untuk tidak melakukan kerja berat. Jadi segala kerja pembersihan rumah baru itu dilakukan olehnya,” katanya.

    Kini, anak perempuannya yang sudah pun berusia tiga tahun amat rapat dengan keluarganya dan menemui mereka hampir setiap hari.

    “Dia sangat rapat dengan ibu bapa saya dan sepupu-sepupunya. Sebab itulah penguasaan Bahasa Mandarinnya sangat bagus,” kata Shawwal.

    Menerima dan memahami

    Perjalanan Shawwal mencari Islam tidak ditemani sesiapa.

    “Saya mencari maklumat sendiri dengan bertanyakan seorang ustaz Cina. Beliau memberikan saya senaskhah al-Quran dengan terjemahan Bahasa Mandarin serta dua buku mengenai Islam. Setelah membacanya, saya amat berpuas hati dengan apa yang saya pelajari dan memutuskan untuk memeluk Islam tidak lama selepas itu,” katanya.

    Walaupun dibesarkan oleh ibu bapa yang menganut agama Buddha, Shawwal sendiri tidak mengamalkan agama itu. Oleh itu, proses pertukaran amalan agama itu tidak begitu sukar untuk beliau.

    Keluarganya juga mengamalkan pemakanan vegetarian dan ini memudahkan lagi mereka untuk makan bersama-sama.

    Namun sedemikian, keluarganya cukup hormat tentang amalan pemakanan orang Islam dan mengasingkan meja serta pinggan mangkuk yang digunakan dalam penghidangan.

    “Mereka juga menggunakan alat-alat dapur berasingan semasa menyediakan makanan untuk kami. Saya melawat keluarga saya hampir setiap hari dan selalu membawa pulang bekalan makanan untuk dihidangkan kepada suami apabila beliau balik kerja,” katanya.

    Kini Shawwal dan keluarganya meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama setiap tahun, seperti yang dilakukannya sebelum memeluk Islam.

    “Dulu orang kata pada saya, situasi dengan keluarga akan menjadi rumit setelah memeluk Islam tetapi Alhamdulillah, Allah mengurniakan saya keluarga yang sangat memahami dan menyayangi,” katanya.

    Tetap mencuba

    Namun bagi Nurmaisarah Leong Yeok Keen, 49 perjalanannya ke agama fitrah diselangi pelbagai onak dan duri.

    Hingga ke hari ini, keputusannya memeluk Islam tidak diterima baik oleh sebahagian ahli keluarga.

    Beliau tertarik dengan Islam sejak berusia 10 tahun namun hanya dapat memeluk Islam setelah ibu bapanya meninggal dunia, 10 tahun yang lalu.

    “Ketika mereka masih hidup, mereka membangkang hasrat saya untuk memeluk Islam,” katanya yang berasal dari Grik, Perak.

    Nurmaisarah Leong Yeok Keen ketika ditemu bual wartawan Bernama pada majlis Makan Malam Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) sempena sambutan Tahun Baru Cina 2017 di Restoran Grand Imperial Seri Pacific. – Bernama
    Nurmaisarah Leong Yeok Keen ketika ditemu bual wartawan Bernama pada majlis Makan Malam Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) sempena sambutan Tahun Baru Cina 2017 di Restoran Grand Imperial Seri Pacific. – Bernama
    Pemilik restoran dan Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Sharin Low Abdullah – Bernama
    Pemilik restoran dan Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Sharin Low Abdullah – Bernama

    Walaupun begitu, beliau tetap mengambil usaha untuk berhenti memakan makanan tidak halal tiga tahun sebelum memeluk Islam.

    Pada usia 39 tahun dan setelah kematian ibu bapa dan suaminya, beliau pun mengangkat syahadah.

    Berasal daripada keluarga yang besar, Nurmaisarah merasakan penting untuk sentiasa mengeratkan talian kekeluargaan.

    Namun, ada antara ahli keluarganya yang masih berjauh hati dan mengelakkan daripada berjumpa dengannya.

    “Saya ada 11 adik-beradik dan empat daripada mereka masih terkilan saya masuk Islam. Mereka tidak mahu bertegur sapa dan apabila saya menelefon, tidak sabar-sabar untuk meletakkan telefon dengan alasan terlalu sibuk untuk bercakap,” kata Nurmaisarah yang kini tinggal di Seksyen 16, Petaling Jaya.

    Walaupun dilayan sedemikian, beliau masih berusaha meraikan Tahun Baru Cina bersama-sama keluarganya.

    “Saya akan membawa makanan dari rumah dan kadangkala ipar saya akan menyediakan makanan halal seperti hidangan ‘steamboat’.

    “Walaupun bukan semua adik-beradik saya menerima kehadiran saya, saya tetap menziarahi mereka pada hari pertama Tahun Baru Cina,” katanya.

    Setahun selepas memeluk Islam, kakaknya memberitahu Nurmaisarah antara sebab adik-beradiknya berjauh hati adalah kerana beliau telah menukar nama keluarga ketika memeluk Islam. Ini memberikan mereka gambaran seolah-olah beliau sudah tidak mahu lagi mengakui asal-usul dan memutuskan talian kekeluargaan.

    Menukar nama bukanlah syarat untuk memeluk Islam melainkan nama itu mempunyai maksud tidak baik. Bagaimana pun, Nurmaisarah berkata beliau tidak dimaklumkan hal itu oleh pegawai-pegawai yang membantunya dalam proses memeluk Islam, maka beliau mengambil nama Nurmaisarah binti Abdullah.

    “Setelah mendapat tahu, saya ke Jabatan Pendaftaran Negara dan berusaha mendapatkan keizinan untuk menggunakan nama Cina saya semula,” katanya.

    Shawwal dan Nurmaisarah merupakan antara ramai yang memilih Islam. Ada antara mereka melalui laluan lancar atau menghadapi pelbagai dugaan dalam berpegang kepada agama baru mereka.

    Walau apa pun, mereka percaya yang mereka telah membuat keputusan yang tepat dan bertekad untuk meneruskan kehidupan sebagai Muslimin.

    Turut berlangsung ketika acara makan besar itu ialah pembukaan rasmi “Grand Imperial Restaurant by Haji Sharin Low”.

    Pemilik restoran itu Sharin Low yang juga Timbalan Presiden MACMA, memeluk Islam pada usia 21 tahun dan memahami cabaran yang dihadapi saudara baru. Beliau sentiasa menyediakan bantuan kepada mereka melalui persatuan itu.

    Acara makan besar Tahun Baru Cina tahun ini merupakan yang kelapan dianjurkan MACMA. Dalam ucapannya Sharin berkata acara makan besar merupakan acara yang terpenting bagi kaum Cina pada setiap tahun.

    “Pentingnya acara ini ialah kerana inilah masa untuk semua berhimpun dalam suasana perpaduan. Orang Cina percaya jika makan bersama-sama, akan sentiasa terus bersama-sama.

    “Inilah satu-satunya malam dalam setahun semua ahli keluarga berhimpun. Sama-samalah kita melupakan kisah yang telah berlalu dan berganjak ke tahun yang baru. Itu yang lebih penting.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda