Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    MuBaArak 1445 tingkat mutu pengajaran bahasa Arab di negara ini

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Dalam sama-sama mengembangkan mutu pengajaran bahasa Arab, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Muktamar Bahasa Arab Kebangsaan 1445 Negara Brunei Darussalam (MuBaArak 1445) di Dewan Tarbiah KUPU SB, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam yang seterusnya merasmikan Muktamar berkenaan. Turut hadir ialah Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

    MuBaArak Brunei 1445 merupakan anjuran bersama KUPU SB melalui Pusat Bahasa KUPU SB selaku urus setia, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar (WAAG) Brunei Darussalam dan Persatuan Bahasa Arab (Brunei).

    Dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Hajah Safiah menjelaskan kesan pengajaran sesuatu ilmu tidak akan terus kelihatan dalam jangka masa yang pendek, maka kepentingan masa yang diperuntukkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang dirancang dengan teratur untuk kanak-kanak di peringkat awal usia mereka, meskipun memakan masa, namun kesan yang diperolehi akan lebih mantap dan berpanjangan, terutama dalam pembelajaran bahasa khususnya bahasa Arab.

    Menurut kenyataan yang diberikan, muktamar berkenaan menjadi wadah bagi mengeratkan kerjasama pelbagai pihak di Negara Brunei Darussalam dalam mengembangkan peluang dan mutu pengajaran bahasa Arab dalam mengukuhkan jati diri Negara Zikir.

    Yang Berhormat Hajah Safiah dan Dr Haji Adanan semasa hadir pada majlis tersebut di Dewan Tarbiah KUPU SB. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Antara objektifnya adalah untuk perkongsian maklumat perkembangan pengajaran bahasa Arab antara institusi di Negara Brunei Darussalam sepanjang tempoh dari MuBaArak terakhir.

    Selain itu, ia juga diadakan untuk menerus dan meningkatkan kerjasama dalam pengajaran bahasa Arab di negara ini khususnya dalam perkongsian kaedah pengajaran bahasa Arab.

    Muktamar itu turut diharapkan mampu membantu meningkatkan kesedaran terhadap pengajaran bahasa Arab dan minat dalam pembelajaran, memantau dan menilai Rukyah Mubaarak (wawasan Bahasa Arab Brunei) dan rancangan pelbagai kerjasama antara institusi.

    Muktamar diserikan dengan forum khas MuBaArak 1445 bertajuk Mengukir Di Atas Batu yang dibincangkan bersama oleh Dr Norhidayatul Athirah binti Pengiran Haji Mohd Yusran, mahasiswi Program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah KUPU SB; Dayang Nurhazimah binti Abdullah Luas dan Awang Abdul Shafiq bin Roszani iaitu mahasiswa dan mahasiswi program Sarjana Muda Bahasa Arab Tahun 4, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Majlis diteruskan dengan penganugerahan Jasawan Bahasa Arab kepada Allahyarham Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Abdul Rahman atas jasa dan usaha Allahyarham dalam mewujudkan pengajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah agama di negara ini dan kaitannya dengan perintah pendidikan agama wajib.

    Dalam masa yang sama, menjadikan Brunei sebagai negara pertama dan satu-satunya negara bukan Arab yang memenuhi kewajiban menyediakan peluang-peluang pembelajaran kepada semua anak umat Islam di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda