Friday, November 22, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muhaizar kembali di puncak

    KUALA LUMPUR, 6 OKT – Pemenang dua pingat gangsa Sukan SEA, Muhaizar Mohamad kembali di puncak selepas menjuarai kategori maraton penuh terbuka lelaki buat kali keenam pada Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2024, hari ini.

    Muhaizar menamatkan larian sejauh 42 kilometer (km) dengan catatan masa 2 jam 41 minit 17 saat untuk melepasi garisan penamat di Dataran Merdeka.

    Pelari berusia 39 tahun yang menjuarai kategori berkenaan sebanyak lima kali berturut-turut dari 2015 hingga 2019, mengetepikan cabaran Muhamad Haziq Hamzah di tempat kedua dengan catatan masa 2:41.38s, manakala Yeow Ni Jia di kedudukan ketiga (2:41.39s).

    Muhaizar berkata kejayaannya kembali di puncak adalah hasil kerja keras semasa latihan, merampas semula gelaran itu daripada juara bertahan S Poo Vasanthan, yang tidak menyertai perlumbaan tahun ini kerana mengalami kecederaan.

    “Tahun ini, saya membuat persediaan yang lebih berbanding edisi lepas kerana ketika itu fokus saya lebih kepada kerja hakiki. Saya memang sasar nak menang semula. Syukur Alhamdulillah saya dapat menjadi johan semula,” katanya kepada media selepas perlumbaan itu.

    Dalam pada itu, anggota polis wanita Noor Amelia Musa menebus kekecewaan sebagai naib juara tahun lepas apabila menjuarai kategori terbuka wanita Malaysia buat kali kedua, selepas melakar kemenangan pertamanya pada edisi 2022 dengan catatan masa 3:09.44s.
    Noor Amelia, 38, berpuas hati selepas berjaya melepasi garisan penamat di bawah sasaran 3:10.00s pada edisi tahun ini. – Bernama

    Muhaizar memenangi kategori Malaysia Men Open, kelmarin.– Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda