KUALA LUMPUR, 12 NOV – Pemain golf muda Malaysia, Muhammad Afham Othman berjaya menempah slot ke Piala Dunia Remaja 2025 di Florida, Amerika Syarikat yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Januari tahun depan.
Jurulatih beliau, Dinie Zakie berkata ini selepas atlet berusia 13 tahun itu menduduki tempat kedua pada Kejohanan Golf Remaja Thailand yang berlangsung pada Jumaat hingga Ahad lepas.
“Saya sendiri tidak menyangka Afham boleh beraksi cemerlang pada kejohanan semalam sebab saya tahu dia dalam peralihan teknik pukulan bilamana selalunya atlet yang berada di fasa ini sukar untuk menampilkan prestasi terbaik, tapi Afham boleh cipta kejutan.
“Hanya mahu beri dia pendedahan main dengan pemain lain dan dia memberi tentangan sengit kepada pemain Korea dengan perbezaan satu par sahaja (pada pusingan ketiga),” katanya kepada Bernama hari ini.
Pada kejohanan itu, Muhammad Afham membuat kejutan dengan menamatkan saingan di tempat kedua, mencatat ke-seluruhan 6 atas par 114 pukulan di bawah pemain Korea Selatan Taeoh Ryu yang mengungguli saingan dengan catatan keseluruhan 5 atas par 112 pukulan, manakala tempat ketiga menjadi milik atlet Filipina Ralph Rian Woo Batican.
Dalam pada itu, Dinie berkata Muhammad Afham masih belum membuat keputusan untuk menyertai Kejohanan Remaja Piala Dunia kerana mempertimbangkan kos perjalanan yang akan ditanggung untuk ke AS.
Bagaimanapun, beliau berharap atlet kelahiran Kelantan itu dapat menyertai kejohanan berprestij itu untuk memperoleh pengalaman selain mengasah potensi Muhammad Afham.
Dinie berkata pihaknya bakal menyediakan beberapa program buat Muhammad Afham sebagai persediaan untuk beraksi di Florida kelak. – Bernama