Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muhammad Haikal akui cabaran sengit bertemu Wei Chong-Kai Wun di Thailand

    KUALA LUMPUR, 11 MEI – Pemain beregu lelaki negara Muhammad Haikal Nazri mengakui bakal berdepan perlawanan sukar bertemu pasangan rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada Terbuka Thailand, Selasa ini.

    Muhammad Haikal yang akan bergandingan dengan Choong Hon Jian berkata meskipun mempunyai kelebihan kerana sudah mengetahui corak permainan Wei Chong-Kai Wun, beliau tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi, sekali gus menamatkan kejohanan itu tanpa sebarang kecederaan sebelum beraksi pada Masters Malaysia bermula 20 Mei ini.

    “Ikutkan memang agak susah bertemu rakan senegara. Saya tidak suka bertemu rakan sendiri di gelanggang. Saya lebih memilih lawan pemain 10 terbaik negara lain daripada rakan senegara. Tidak mahu letakkan harapan tinggi lagi-lagi lepas tewas pada Terbuka Taiwan.

    “Saya tahu kelemahan dan kelebihan mereka, begitu juga dengan mereka. Masing-masing ada kelebihan nanti,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

    Rekod pertemuan terakhir menyaksikan Muhammad Haikal-Hon Jian tewas 15-21, 19-21 kepada Wei Chong-Kai Wun pada aksi Masters Malaysia tahun lepas.

    Dalam pada itu, Muhammad Haikal berkata keserasian bersama Hon Jian dilihat lebih baik sejak kembali beraksi pada Terbuka Taiwan, sebelum disingkirkan pasangan Singapura Eng Keat Wesley Koh-Junsuke Kubo 21-13, 16-21, 12-21 pada aksi pertama Rabu lepas. – Bernama

    Muhammad Haikal Nazri ketika ditemu bual selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada 9 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda