Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    MUIB agih zakat kepada fakir miskin

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Lima orang asnaf fakir miskin telah menerima agihan zakat modal bagi pembelian perahu, enjin dan treler bernilai $40,610 yang diharap akan meningkatkan semangat dan tekad agar berusaha lebih gigih dalam meningkatkan taraf kehidupan ke arah lebih baik dan sempurna.

    Penyerahan agihan zakat telah disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Haji Abdul Aziz bin Haji Akop pada majlis yang berlangsung di Syarikat Ken & Tan Sdn Bhd, Salar Industrial Estate, Jalan Muara, hari ini.

    Para penerima terdiri daripada Awang Asrimi bin Amit dan Awang Ibrahim bin Ahad dari Kampung Belais, Daerah Temburong; Awang Mohd Bakri bin Haji Abu Bakar dari Kampung Rataie, Daerah Temburong; Awang Abdul Rahman bin Haji Rosli dari Kampung Sungai Besar, Daerah Brunei dan Muara; dan Awang Azmi bin Haji Mazin dari RPN Kampung Katok B, Daerah Brunei dan Muara.

    Agihan zakat berkenaan diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin MUIB.

    Semasa temu bual bersama media, Awang Azmi dan Awang Ibrahim masing-masing mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas rezeki yang diberikan, dan terima kasih kepada MUIB kerana mempertimbangkan permohonan mereka.

    “Insya-Allah, bantuan yang diberikan tidak akan disia-siakan dan akan digunakan untuk berusaha gigih bagi menyara ahli keluarga yang lain,” ujar Awang Ibrahim.

    Sementara itu, Awang Azmi melahirkan perasaan merasa amat gembira menerima bantuan itu setelah lebih dua tahun menunggu. “Saya rasa syukur tidak terhingga dan terima kasih kepada kerajaan melalui MUIB atas bantuan yang diberikan.

    “Saya berazam meningkatkan lagi hasil tangkapan saya demi keluarga. Dengan bot baharu ini, sedikit sebanyak dapat meringankan lagi bebanan harian kami sekeluarga,” ujarnya.

    Haji Abdul Aziz bergambar ramai bersama penerima dan pihak pengurusan Syarikat Ken & Tan Sdn Bhd pada majlis pengagihan zakat tersebut, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...