Oleh Yusrin Junaid
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Munajat Ramadan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) minggu ini diserikan dengan penyertaan warga Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Di samping itu sebanyak 75 buah masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara juga menyertai acara tersebut secara maya sejurus selepas Asar kelmarin.
Turut sama menyertai ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin. Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Acara diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh guru agama Jabatan Pengajian Islam, Awang Mohd Suhnoromardi bin Haji Suhaimi bersama guru-guru ugama Kawasan Brunei IIA dari Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri MutaWakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop.
Doa Munajat kemudian dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Dr Haji Badaruddin bin Pengiran Abdul Rahman, bagi memohon keampunan daripada Allah SWT dan terhindar daripada bala bencana serta penyakit berbahaya.
Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan ayat Al-Quran, tadabbur dan diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Munajat Ramadan itu bertujuan bagi mengajak orang ramai untuk bersama-sama memohon keampunan daripada Allah dengan beristighfar, membaca Surah Yasin, mendengarkan bacaan ayat Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai, dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya khasnya wabak COVID.
Penyertaan bagi acara itu dibukakan kepada orang ramai dan dapat diikuti secara maya dari mana saja berada melalui aplikasi Microsoft Teams di pautan http://tiny.cc/munajatkheu atau secara langsung melalui Instagram Pusat Dakwah Islamiah @pdi_kheu.
