Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Munajat Ramadan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) diteruskan lagi pada bulan Ramadan ini dengan mengundang tetamu khas iaitu ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan surah Al-Fatihah bersama para Muslimah Masjid Kampung Bunut dari Masjid Kampung Bunut.
Munajat Ramadan secara dalam talian kelmarin diserikan dengan tadabbur Al-Quran yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kementerian Pendidikan, Dayang Khairun Naqibah @ Khairun Nadzirah binti Haji Lazim/Haji Abdul Azim dari Surau Al-Syafi’i, UNISSA.
Antara huraian intisari dan pengajaran ayat daripada tadabbur Al-Quran dari Surah Al-Ahqaf ialah kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk mentaati dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa sama ada mereka masih hidup mahupun telah tiada. Pahala dan ganjaran bagi mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa merupakan ganjaran paling besar yang telah dijanjikan oleh Allah SWT di akhirat nanti.
Turut menyertainya ialah mahasiswi dan pegawai serta kakitangan UNISSA, Kementerian Pendidikan; Muslimah Masjid Kampung Bunut dan Muslimah Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; warga kerja wanita KHEU dan jabatan-jabatan serta bahagian-bahagian di bawahnya dan juga jemaah dari beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Ikut sama menyerikan acara ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi; dan isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Norazimah binti Haji Ramlee.
Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan surah Al-Fatihah, acara diteruskan dengan bacaan surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh johan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1443H/2022M, Dayang Najla’ Sabreena binti Haji Abdul Rajid, bersama Muslimah dari Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.
Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Nazir Khas, Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU, Dayang Ernie Yusnani binti Haji Mohd Noor, dari Surau Blok 2i, Kondominium Ong Sum Ping, JPI.
Bacaan Asma’ul Husna dipimpin oleh Mahasiswi Tahun 4, Fakulti Syariah dan Undang-undang (Fiqh dan Qadha), UNISSA, Dayang Fatin Nurhanani binti Abdullah Mohdar, dari Surau Al-Syafi’i, UNISSA.
Sementara itu, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Dayang Normastiniana binti Haji Metussin, dari Masjid Kampung Bunut.
