Friday, February 7, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Munajat ramadan ke-81 diteruskan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) semalam meneruskan lagi Munajat Ramadan secara maya untuk kali ke-81.

    Munajat Ramadan dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dari Dewan Multaqa, KHEU.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Majlis diteruskan dengan bacaan surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU, Haji Abdul Razak bin Haji Mohammad Daud, dari Surau, Kondominium Ong Sum Ping, JPI. Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Ketua Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, KHEU, Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail, dari Dewan Multaqa, KHEU.

    Acara diserikan dengan tadabbur Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat 38 hingga 40 yang disampaikan oleh Penolong Profesor Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Sarinah binti Haji Yahya yang menghuraikan tentang rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT merupakan ujian kepada manusia.

    Allah SWT meluaskan dan menyempitkan rezeki kepada siapa yang dikehendakiNya.

    Kedua-dua keadaan ini adalah tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang beriman dan tahu akan hikmah dan rahmatNya.

    Acara kemudian diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Ketua Unit Logistik, Belia Mualaf As Syahadah, Program Keagamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), KHEU, Awang Muhammad Firas bin Kalong/Ibrahim dari Mushalla Al-Ameen, PDI.

    Turut serta bagi sama-sama mengimarahkan program itu ialah warga KHEU, Belia Mualaf As Syahadah, Program Keugamaan Belia PDI serta jemaah dari 98 buah masjid.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama jemaah lain pada program Munajat Ramadan. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda