Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Program Munajat ke-80 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sempena bulan Ramadan telah diadakan selepas solat Fardu Zuhur secara maya kelmarin dengan menumpukan kepada taddabur Al-Quran dari surah Al-Araaf, ayat 44 sehingga 47.
Taddabur itu disampaikan oleh Penolong Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak yang menjelaskan intisari dan pengajaran daripada ayat tersebut.
Menurut beliau, ayat tersebut menekankan bahawa ahli syurga gembira dengan nikmat diperolehi seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT kerana keimanan dan ketaatan mereka kepadaNya ketika hidup di dunia.
Manakala penghuni neraka pula merasa sesal kerana mereka mendapat balasan seksa yang dijanjikan Allah SWT disebabkan kekufuran dan kederhakaan mereka ketika di dunia serta laknat Allah SWT akan ditimpakan kepada orang-orang yang melakukan kezaliman.
Tiga sifat orang-orang zalim iaitu menghalang diri sendiri dan orang lain daripada mengikut syariat Allah SWT; memesongkan syariat dan mengingkari adanya hari kiamat, tambahnya.
Program munajat itu turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bersama warga KHEU di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan KHEU.
Manakala tetamu khas pada minggu ini ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan surah Al-Fatihah dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut serta bagi sama-sama mengimarahkan Munajat Ramadan ialah para pegawai dan kakitangan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan; para pegawai, tenaga pengajar dan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong; serta para jemaah daripada 99 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat seluruh negara.
Munajat Ramadan diadakan bagi meraih ganjaran pahala dengan mempertingkatkan amal ibadah di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.


