Wednesday, December 18, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musa dilantik Yang Dipertua Negeri Sabah

    KOTA KINABALU, 17 DIS – Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini mengucapkan tahniah kepada Tun Musa Aman atas pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11.

    PH dalam kenyataan turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah serta pingat kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara membawa gelaran Tun kepada Musa.

    “Setinggi-tinggi tahniah kepada Musa atas pelantikan dan pengurniaan tersebut pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

    “PH Sabah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Tun Juhar Mahiruddin sepanjang perkhidmatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-10,” menurut kenyataan itu.

    Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember
    2028.

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun kepada Tun Musa Aman di Istana Negara kelmarin. – Bernama

    Pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah itu adalah bagi menggantikan Juhar yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.

    Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar turut mengucapkan tahniah dan berharap Musa dapat meneruskan khidmat dengan cemerlang kepada agama, bangsa dan negara.

    Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pula mendoakan Musa diberikan kesihatan yang baik agar dapat menggalas tugas diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, dedikasi dan berintegriti demi negeri tercinta.

    Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata pelantikan Musa amat dialu-alukan atas jasanya yang besar dalam membangunkan negeri selama menjadi Ketua Menteri.

    “Semasa beliau menyandang jawatan itu dan Menteri Kewangan Negeri, rizab negeri dilihat bertambah dengan begitu ketara. Selain itu, pendapatan negeri juga terus meningkat dari tahun ke tahun semasa Tun (Musa) menerajui kepimpinan negeri,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda