Program Club Mickey Mouse kini kembali lagi untuk musim keempat dan ditayangkan di platform digital Disney+ Hotstar.
Masih mengekalkan beberapa anggota Mouseketeer sedia ada iaitu Wafiy, Erissa, Gabriel, Faiz dan Ellya, musim ini turut disertai dua muka baharu iaitu Eric dan Melynna.
Bagi Eric atau nama sebenarnya Eric Lau Lofstedt, kemunculannya sebagai ketua Mouseketeer yang baru menjadi cabaran besar buatnya.
“Pada awalnya, ini adalah pengalaman yang sangat berbeza buat diri saya kerana saya tak pernah menggalas tanggungjawab seperti ini.
“Namun, ia umpama mimpi yang menjadi kenyataan kerana sejak kecil, saya selalu bayangkan kalau suatu hari nanti, saya nak berada dalam program Disney,” katanya.
Tambah pemenang empat kali pingat emas Wushu Antarabangsa Kuala Lumpur itu lagi, dia juga dapat belajar pelbagai perkara baharu.
“Dalam program ini, saya umpama abang kepada Mouseketeer lain. Jadi, saya seimbangkan antara berseronok dan pada masa sama, menjaga mereka.
“Dalam pada itu, Club Mickey Mouse juga mengajar saya beberapa perkara baharu dari segi muzik, tarian dan sebagainya,” katanya.
Bagi Melynna atau nama sebenarnya Melynna Rose, semangat daripada rakan-rakannya yang lain dalam program ini membantu membentuk dirinya sebagai anggota Mouseketeer. – Agensi
